Rabu, 25 Januari 2017

Polis cari pelajar rakam bahagian dalam kain guru wanita


kumara sabapatty
 


Mohd Sukri Kaman. foto FAREEZ FADZIL
KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan seorang lagi pelajar sekolah menengah di ibu negara bagi membantu siasatan dalam kes merakam dan menyebarkan video bahagian dalam kain seorang guru wanita pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner, Mohd. Sukri Kaman berkata, pelajar itu kini dipercayai berada di Johor.

“Dalam kes ini kita sudah mengambil keterangan empat pelajar dan telefon bimbit yang digunakan untuk merakam video berdurasi tujuh saat itu dan telefon telah dirampas.

“Kita sedang mencari dan mengesan telefon bimbit milik pelajar lain yang dipercayai menerima video klip itu menerusi whatsapp dari pelajar yang telah merakamkannya,” katanya ketika ditanya pemberita di ibu pejabat Dang Wangi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Sukri menjelaskan, kertas siasatan kes itu telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Dalam kejadian minggu lalu, pelajar tersebur didakwa melakukan rakaman itu pada pada pukul 8.30 pagi ketika guru Bahasa Inggeris terbabit sedang membalut meja pelajar di dalam kelas.

Ia kemudian disebarkan dalam kalangan pelajar tingkatan tiga di sekolah menengah tersebut.

Guru berkenaan difahamkan hanya mengetahui insiden itu setelah diberitahu oleh guru disiplin pelajar yang membuat pemeriksaan Rabu lalu.

Guru bahasa Inggeris itu kemudian dipercayai membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: