Khamis, 26 Januari 2017

Pakatan Mahathir-DAP satu konspirasi?

Oleh Abdul Rahman Malik
Post Pic
 
 
[ULASAN] Tun Dr Mahathir Mohamad tersudut oleh keceluparan mulutnya sendiri. Secara langsung atau tidak beliau mengakui bahawa DAP pernah menyatakan hasrat mengisi kerusi Timbalan Perdana Menteri, jika pembangkang menang.
 
Tidak kiralah sama ada DAP membuat permintaan itu sesudah atau sebelum Pakatan Rakyat terkubur ataupun setelah Pakatan Harapan (PH) terbentuk.
 
Yang penting umum tahu Mahathir cuma berbaik dengan DAP apabila sudah menubuhkan sebuah parti pembangkang bernama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
 
Pasport merapatkan diri dengan pembangkang ialah dengan menarik balik kepercayaannya sebelum ini bahawa DAP adalah sebuah parti rasis.
 
Alasannya ialah beliau baru tahu bahawa lirik lagu rasmi DAP berbahasa Malaysia!
 
Hakikatnya, setelah menyedari DAP tidak rasis, Mahathir mengadakan rundingan khusus dengan penasihat DAP, Lim Kit Siang, mengenai siapa bakal jadi perdana menteri dan timbalannya, jika pembangkang menang.
 
Tepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Mahathir mengakui benar DAP ada membuat permintaan itu. Justeru demi Lim Kit Siang dan anaknya yang juga Setiausaha Agung DAP mesti tampil menafikannya secara rasmi.
 
Keletah Mahathir menyusahkan DAP. Jika ia tidak, natijahnya boleh menjejaskan wibawa DAP sendiri. Jika DAP tidak menafikannya bererti DAP dan Mahathir memang ada pakatan sulit seperti didedahkan bekas Naib Presiden DAP, Tunku Abdul Aziz.
 
Sebaliknya jika DAP menafikan bererti ia menuduh Mahathir berbohong. Mungkin DAP tidak mahu memberi komen rasminya kerana “mahu menjaga air muka” Mahathir.
 
Dalam pada itu, berpeluh Ketua Penerangan PPBM, Datuk Kamarudin Md Nor cuba menafikan Mahathir tidak ada membuat kenyataan bahawa DAP ada meminta diberikan kerusi Timbalan Perdana Menteri kelak.
 
Kata Kamarudin, Dr Mahathir hanya cuba 'mengimbau' perbincangan yang pernah diadakan di antara PPBM dan DAP dan menegaskan tiada kata sepakat berhubung  isu berkenaan.
 
"Dr Mahathir kata pernah DAP sebut soal jawatan Timbalan. Namun kita tak setuju. Bukan sahaja DAP, MCA pun pernah minta dengan Umno untuk jawatan Timbalan Perdana Menteri kedua.
 
"Tak semestinya mereka (DAP) minta (jawatan), mereka dapat.
 
"Kita sudah buat penjelasan bahawa tidak berbangkit soal kita melayan tuntutan DAP, ataupun MCA," katanya.
 
Ini mengusutkan keadaan kerana ia membuktikan bahawa memang benar perundingan berhubung agenda berkenaan pernah berlaku di antara Mahathir dan Kit Siang.
 
Hal ini tentu menggerunkan kerabat PH kerana ia mendedahkan cara Mahathir melakukan rundingan politik. Dengan satu pihak dalam PH (iaitu DAP) beliau tergamak berbincang isu sensitif itu di luar pengetahuan kerabat politik lain.
 
PKR, Amanah lebih berwaspada
 
Jika itu bukan taktik “pecah-belah dan perintah” apakah namanya? Justeru PKR dan Amanah seharusnya lebih berwaspada terhadap DAP dan PPBM kerana ada bukti mereka melakar agenda lain sekiranya pembangkang menang.
 
Namun agak menyedihkan apabila pimpinan tertinggi PKR memilih berdiam diri. Bagi PKR cuma Ketua Wanitanya, Zuraida Kamaruddin yang memberi komen terhadap kenyataan Mahathir itu.
 
Katanya, jika sungguh DAP ada menyatakan demikian pada Mahathir, maka PKR tidak mempunyai masalah kerana ia bersikap terbuka meraikan kepelbagaian kaum yang terdapat dalam kalangan blok pembangkang.
 
“Ya (tiada masalah), atas dasar kita nak menunjukkan kita (meraikan) kepelbagaian kaum,” katanya.
 
Bagaimanapun Ahli Parlimen Ampang itu berkata, beliau tidak pernah mendengar DAP membuat permintaan berkenaan.
 
"Pada prinsipnya saya tidak nampaklah ada permintaan daripada DAP yang dikatakan parti Cina itu meskipun mereka sebenarnya parti berbilang kaum, tidak pernah kita dengar mereka menyatakan hasrat itu.
 
"Tapi kita sebagai satu pakatan pembangkang yang berbilang kaum, kita alu-alukan kombinasi untuk kepentingan masyarakat berlainan (kaum).
 
"Kita dalam Pakatan ini memang mempertimbangkan kemungkinan benda-benda macam begini. Tapi mereka (DAP) tidak mintalah," katanya.
 
Bagaimanapun, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali seperti lazimnya akan “berlepas tangan” dengan membuat kenyataan klise jika tersudut dalam persoalan politik.
 
Azmin berkata, keputusan menentukan siapa bakal menjadi perdana menteri atau timbalannya bukan diputuskan oleh pembangkang. Sebaliknya Azmin menyerahkan kepada rakyat membuat keputusan itu.
 
“Keputusan nanti ini melibatkan sistem demokratik. Bukan soal kita setuju atau tidak setuju.
 
"Kalau rakyat setuju, ini soal demokrasi. Rakyat yang akan menentukan siapa yang menang dalam pilihan raya. Jadi kita kena menghormati keputusan rakyat,” katanya.
 
Persoalannya ini bukan sahaja isu demokrasi. Ia adalah soal integriti dan gelagat kerabat-kerabat politik PKR. Ia adalah satu konspirasi.
 
Setidak-tidaknya ia boleh dibaca percubaan menyorok hasrat DAP dari pengetahuan pengundi Melayu dan dilihat Mahathir sedia membantu DAP mencapai cita-citanya.
 
 

Tiada ulasan: