Rabu, 25 Januari 2017

Penduduk terjejas banjir di Perak cecah lebih 600

ASTRO AWANI

Penduduk terjejas banjir di Perak cecah lebih 600
Jalan Ipoh-Lumut di KM24 dinaiki air pada 24 Januari. - Foto Bernama
 
IPOH: Seramai 655 mangsa banjir kini ditempatkan di 13 pusat pemindahan seluruh Perak setakat 8 pagi tadi, berbanding 595 orang yang direkodkan pada malam tadi.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak, daerah paling teruk terjejas adalah Manjung apabila 454 orang kini berada di tiga pusat pemindahan iaitu Dewan Inderawati Beruas (195); Sekolah Agama Rakyat Kampung Padang Serai (192) dan di Dewan Kampung Kota, Beruas (67).

Ia diikuti daerah Larut, Matang dan Selama membabitkan 140 mangsa yang ditempatkan di lima pusat pemindahan iaitu Surau Kampung Jawa Trong (39); Dewan Orang Ramai Kampung Matang Merbau Trong (29); Dewan Orang Ramai Kampung Kelubung (14); Kampung Padang Serai Dalam (21) dan Dewan Orang Ramai Matang Gelugor (37).

"Sementara itu, di daerah Hilir Perak sebuah pusat pemindahan dibuka iaitu Sekolah Kebangsaan Pengkalan Ara yang kini menempatkan 32 mangsa.

"Di daerah Perak Tengah pula 10 orang berada di Surau Nurul Jannah, Parit 6, manakala empat lagi di Surau Kampung Talang," demikian menurut kenyataan itu di sini hari ini.

Di daerah Kinta lapan mangsa kini menghuni Dewan Orang Ramai Kampung Piandang, Batu Gajah, sementara di daerah Kuala Kangsar terdapat tujuh mangsa berada di Surau Karimiah, Kampung Talang Hulu.-- BERNAMA 
 
 

Tiada ulasan: