Sabtu, 28 Januari 2017

Anak pegawai polis beri penyataan palsu didenda RM200,000

MalaysiaGazette

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia

KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan dijatuhkan hukuman denda RM200,000 oleh Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur hari ini kerana memberi penyataan palsu berhubung penjualan kira-kira 50 kereta mewah pada 2014.

Mohamad Azhan Hamza, 32, yang merupakan anak bekas pegawai kanan polis Bukit Aman didakwa memberi penyataan palsu berhubung jumlah kereta yang dijual itu antara 2008 sehingga 2013 melalui pengedar kereta di TTDi Cars, Melinium Auto dan Sentimas Sdn. Bhd.

Pada 29 Oktober 2015, tertuduh didakwa di mahkamah kerana memberi pernyataan palsu itu kepada pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Farid Jabar di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, antara pukul 1.45 petang dan 6.30 petang, 16 Julai 2014.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 32(8)(c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001 yang membawa hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, di Mahkamah Khas Rasuah Kuching, Sarawak, Hakim Nixon Kennedy Kumbong telah menjatuhkan hukuman penjara dua hari dan denda RM25,000 terhadap seorang pengurus syarikat kerana memberi rasuah sebanyak RM5,000 kepada seorang penjawat awam agar tidak mengambil tindakan terhadap dua orang pekerja asing miliknya yang menyalahgunakan pas pelawat.

P.Sivadass,48 didakwa melakukan kesalahan tersebut di pejabatnya di No. 250, SMI Industrial Park Phase 3, Demak Laut, Jalan Bako, Kuching pada 20 Julai 2016.

Pada 28 November 2016, Sivadass telah didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 dan boleh didenda mengikut Seksyen 24 akta yang sama. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: