Selasa, 24 Januari 2017

Kutipan GST meningkat, kualiti hidup rakyat menurun

USTAZ IDRIS AHMAD 

 


TAHNIAH kepada pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang telah berjaya mengutip RM41.2 bilion untuk tahun 2016, ia melebihi sasaran hanya RM39 bilion. Ini sebagai penanda aras kecekapan pegawai perkhidmatan awam di Malaysia. Pihak Kastam juga mensasarkan kutipan tahun 2017 sebanyak RM40 bilion hingga RM42 bilion.

Pengarahnya, Da­tuk Seri Khazali Ahmad berkata, selain itu, jumlah individu dan syarikat yang berdaftar dengan GST turut meningkat kepada 431,000 sejak pelaksanaan cukai tersebut pada 1 April 2015.

Pada tahun 2015 hasil GST sebanyak RM27.1 ­bilion dalam tempoh 9 bulan.

Pihak Jabatan Kastam hanya melaksanakan polisi kerajaan untuk memastikan bagi membantu kewangan negara, terutama kejatuhan harga petrol di peringkat antarabangsa. Ia menjejas pendapatan negara. Dari setahun ke setahun pendapatan negara melalui Petronas semakin merosot 2014 (RM62 bilion), 2015 (RM44 bilion) dan 2016 (RM31.7 bilion). Maka jalan pintasnya dengan dikenakan GST pada kadar 6%.

Walaupun kerajaan memberi jaminan GST tidak akan berlaku kenaikan harga barang. GST hanya kepada orang kaya, orang miskin tidak kena. GST menstabilkan nilai ringgit. Bebanan  GST akan dibantu dengan BR1M untuk orang miskin. GST akan diguna oleh kerajaan untuk  meningkat kualiti hidup rakyat.

Realitinya semua penyataan di atas hanya ilusi semata-mata. Pendapatan kerajaan semakin bertambah bukan semakin menurun. Misalnya jika dicampur hasil Petronas tahun 2016 sebanyak RM31.7 bilion dan GST pula RM41.2 bilion, berjumlah RM72.9 bilion. Ertinya pendapatan kerajaan semakin bertambah tetapi kenapa kualiti hidup rakyat semakin menurun.

Barang keperluan meningkat. Ikan sardin RM12 sekilo, ikan kembung RM16 sekilo. Daging import daripada RM12 naik RM17 untuk 900 gram. Minyak masak RM13 naik RM21.

Paling sedih sekali kelengkapan hospital tidak mencukupi. Berlaku di depan mata saya sendiri di wad 17 Hospital Taiping, jururawat terpaksa menggunakan tangan untuk bantuan oksigen kepada pesakit kerana tidak cukup alat.

Ke mana wang kita hilang? Cukai dipungut, sepatutnya perlu dikembali kepada rakyat di dalam bentuk perkhidmatan. Rakyat tidak kisah, jika cukai dipungut tetapi mereka mendapat kemudahan yang baik. Tetapi apa yang berlaku sebaliknya.

* Ustaz Idris Ahmad, Naib Presiden PAS / Ahli Parlimen Bukit Gantang



Tiada ulasan: