Isnin, 30 Januari 2017

PAS bukan lagi sebahagian PH, kata Amanah [TONTON VIDEO]

Oleh Azizul Osman
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS sudah tidak menjadi sebahagian daripada Pakatan Harapan (PH), jadi terpulang kepada parti itu untuk bertanding seberapa banyak kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). 
 
Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata partinya tidak mahu ambil pusing mengenai perkara tersebut, apatah lagi PAS kini enggan memberikan kerjasama dengan pembangkang dalam soal pembahagian kerusi dan kerjasama hadapi PRU. 
 
"Oleh kerana dia (PAS) tidak ada dalam Pakatan Harapan, kita nak ajak bincang (isu pembahagian kerusi) pun dia tolak dan tutup pintu perundingan.
 
"Jadi saya rasa oleh kerana dia di luar daripada Pakatan Harapan, jadi untuk dia (PAS) bertanding berapa kerusi pun itu hak dia, kita tidak ada apa-apa masalah," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
 
Awal hari ini, Presiden PAS berkata partinya menyasarkan untuk memenangi sekurang-kurangnya 40 kerusi parlimen pada PRU14 akan datang.
 
Ujar Hadi PAS perlu mempunyai kedudukan yang kukuh dan kuat melalui strategi mempertahankan Kelantan dan Selangor selain memerintah semula Terengganu dan Kedah.
 
Malah parti itu mempunyai tanggungjawab mempertahankan Islam dan memastikan Islam memerintah, katanya.
 
Hadi sebelum ini berkata parti itu telah menutup pintu rundingan dengan DAP untuk kerjasama menghadapi PRU14 namun masih membuka pintu perbincangan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
 
Ia ekoran tindakan Penasihat DAP Lim Kit Siang yang berkata partinya boleh bekerjasama sekali lagi dengan PAS jika Hadi bersedia memberi komitmen untuk menyelamatkan Malaysia.
 
PAS dan PPBM dijadualkan akan membuat keputusan ekoran kerjasama antara kedua-dua parti itu pada 2 Februari depan selepas perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi PPBM Tun Dr. Mahathir Mohamad.
 
"Dia (PAS) nak berunding dengan BERSATU (PPBM) atau parti-parti lain, kita alu-alukan tapi oleh kerana dia tidak bersama dengan PH itu kita tidak mengambil kira sebarang kerusi yang dia nak bertanding," jelas Salahuddin mengenai kerjasama PAS-PPBM.
 
 

Tiada ulasan: