Rabu, 25 Januari 2017

PPBM belum tamatkan rundingan dengan PAS

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Rundingan antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bersama PAS setakat hari ini masih lagi berlangsung dan tiada sebarang keputusan muktamad dibuat. 
 
Justeru, naib presidennya Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman meminta, mana-mana pihak yang tidak terlibat dalam rundingan PPBM-PAS agar tidak mengeluarkan sebarang komen berhubung isu itu.
 
"Tak payahlah dengan ura-ura atau apa orang kata, mereka tak tahu hal dalaman parti. Saya fikir komen tu tak sesuai dengan keadaan sekarang (kerana) perundingan yang ada berbeza.
 
"Kita ada kumpulan yang lakukan rundingan, saya tak fikir orang yang beri komen ni terlibat dalam (perbincangan).
 
"(Hari ini) pihak kita akan laporkan kepada MPT dan kita akan tengok apa-apa reaksi dalam perjumpaan tu. Tapi perundingan tu belum selesai," katanya ketika dihubungi Antarapos. 
 
Terdahulu Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Dr Mahfodz Mohamad memberitahu Antarapos bahawa, parti itu tidak akan menjalin kerjasama dengan PPBM sekiranya mereka menyertai Pakatan Harapan (PH).
 
Mahfodz berkata demikian selepas Tun Dr Mahathir Mohamad mahu PPBM menjadi ahli komponen penuh PH sekiranya PAS berterusan enggan bekerjasama dengan parti pembangkang yang lain.
 
Tambah Rashid, PPBM tidak akan menyertai PH sebaliknya hubungan yang terjalin itu hanyalah bersandarkan kepada perjanjian persefahaman sahaja.
 
Justeru katanya lagi, PAS tidak mempunyai hak untuk menentukan dengan siapa PPBM menjalin kerjasama, begitu juga sebaliknya.
 
"Mana boleh sertai PH, kita dah tandatangan perjanjian dengan PH. Kerjasama tu diteruskan, kita dengan PH adalah satu kelompok (pembangkang).
 
"Bersatu (PPBM) dengan PAS, tak termasuk yang lain dengan siapa kita berkawan. Kalau dia dengan kita dan tak nak berkawan dengan yang lain, itu dia punya hak tapi kita berkawan dengan dia," katanya.
 
Ketika ditanya, kebarangkalian keputusan kerjasama PPBM-PAS ini, Rashid memberitahu parti terbuka dengan sebarang keputusan dan bersedia dengan langkah seterusnya.
 
"Kalau PAS bersetuju untuk bekerjasama dengan Bersatu (PPBM), itu satu perkara lain yang mungkin membantu dalam pilihan raya ni. Tapi kalau PAS tak kerjasama pun tak ada masalah, kita akan tentukan apa yang harus kita buat (tapi) kita (masih) dengan PH," ujar beliau.
 
Kenyataan Rashid itu jelas bercanggah dengan hasrat Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu parti itu menjadi sebahagian daripada PH.
 
Dr Mahathir juga mengugut akan menamatkan rundingan dengan PAS jika parti itu terus enggan memberikan kata putus sama ada mahu bersama PH-PPBM ataupun menjalin hubungan politik dengan Umno Barisan Nasional (BN). 
 
 

Tiada ulasan: