shahbudindotcom
Selain orang Melayu, pihak lain yang barangkali bernasib malang di negara kita ialah para peneroka Felda.
Kedua-duanya,
orang Melayu dan peneroka Felda, sering dijadikan sebutan oleh
pemimpin-pemimpin UMNO dan kerajaan kononnya untuk diberi pembelaan dan
dinaikkan taraf kehidupan, tetapi malangnya kelompok itu jugalah yang
paling mundur dan terkebelakang.
Jika
mendengar pemimpin Melayu bercakap tentang Melayu sejak dulu, apatah
lagi jika menjerit perkataan "Hidup Melayu", aduhh...gegak-gempitanya
sehingga berdiri bulu roma dibuatnya.
Namun,
lagi kuat menjerit, lagi besar khianatnya mereka. Tidak cukup
bersekongkol dengan tauke-tauke Cina mencairkan tanah rizab Melayu,
bukan untuk menolong orang Melayu, tetapi lebih bertujuan memperkaya
diri sendiri, ketamakan itu akhir-akhir ini melebar sehingga ke negara
China jauhnya.
Tidak
cukup dengan tanah, projek keretapi, rumah, kondo, pelabuhan, menjaga
sempadan dan cara mencegah jenayah telah diserahkan kepada China,
terbaru ini dimetrai bahawa program-program televisyen daripada China
juga mahu dilambakkan untuk tontotan rakyat kita sekeluarga.
Seperti
biasa, pemimpin-pemimpin yang sama tetap menjerit "Hidup Melayu" tanpa
henti dan tidak malu pula mengatakan keutamaan mereka tetap membela dan
menjaga orang Melayu.
Begitu
juga dengan peneroka Felda, walaupun mereka merupakan penentu dan
penyumbang kemenangan kepada UMNO dan BN di 54 kawasan Parlimen di
seluruh negara, hakikatnya nasib mereka tidak banyak yang dibela.
Di
ketika suara-suara bergema mahu membela peneroka, hakikatnya Felda
teruskan dijadikan lubuk untuk mengaut kekayaan oleh segelintir mereka
yang diberikan amanah untuk menjaganya.
Penangkapan
empat pegawai kanan Felda berhubung penipuan dan salah guna kuasa dalam
pelaburan penternakan ikan sturgeon bernilai RM47 juta tidaklah begitu
menghairankan sebenarnya.
Ini
kerana sebelum ini kita juga dihidangkan dengan banyak kes mengenai
Felda seperti pembelian hotel dan hartanah mewah di luar negara,
pelaburan dalam syarikat yang meragukan, pembelian kondo, pembayaran
elaun dan penggunaan apartment untuk anak pegawai yang sedang belajar,
pemberian kontrak kepada kroni, pembelian ladang di Indonesia pada harga
luar biasa serta berbagai-bagai lagi.
Semua
itu tidak sama sekali memberi keuntungan kepada peneroka, sebaliknya
hanya orang-orang tertentu yang mengaut laba daripadanya.
Susulan
tangkapan empat pegawai Felda semalam, dikhabarkan terdapat dua atau
tiga lagi orang kuat agensi itu sedang dalam pemerhatian SPRMdan tidak
mengejutkan jika mereka akan turut dicekup sama dalam tempoh terdekat
ini.
Dilaporkan
ada di antara mereka yang mempunyai berpuluh-puluh kereta, memiliki
restoran di beberapa pusat membeli-belah di dalam dan luar negara,
selain sudah tentu turut mempunyai rumah besar dan perhiasan mahal-mahal
untuk isteri masing-masing.
Sama
seperti nasib orang Melayu yang hanya digula-gulakan, tiada apa-apa
yang akan berubah kepada kehidupan peneroka Felda selagi UMNO yang
menjaga mereka.
Ia seperti meminta memerang menjaga kolam ikan atau musang menjaga reban ayam.
Orang
Melayu dan peneroka Felda harus berani membuat perubahan, jika tidak,
sehingga tahun 2050 pun, mereka terus menjadi barang mainan dan sekadar
modal mengaut sokongan dalam ucapan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan