MALAYSIAKINI
Kumpulan-kumpulan wartawan hari ini menuntut Jabatan Perhutanan Kelantan memuat siasatan berkaitan tangkapan dua wartawan di Gua Musang, Kelantan, Selasa lalu.
Ini susulan kenyataan seorang wartawan itu bahawa seorang pegawai jabatan itu memberi amaran supaya mereka tidak berlagak seperti Bruno Manser – aktivis antipembalakan di Sarawak yang hilang 17 tahun lalu.
Perkara itu dinyatakan dalam kenyataan bersama Institut Wartawan Malaysia (IoJ), Kelab Koresponden Asing Malaysia (FCCM) dan Gerakan Media Merdeka (GERAMM).
Tiga kumpulan itu juga membangkitkan dakwaan petugas media itu – Chi Too dan Jules Ong – yang tidak dibenarkan berjumpa peguam Siti Kasim, yang bertindak bagi pihak mereka ketika penahanan itu.
Chi Too juga mendakwa mereka diikuti kira-kira seminggu sebelum penahanan itu.
“Kami tidak menyokong tindakan menyalahi undang-undang, tetapi kami tegaskan layanan kasar terhadap wartawan-wartawan, dalam kes ini Ong dan Chi Too amat tidak perlu, terutamanya apabila mereka melaporkan isu melibatkan kepentingan awam.
“Kami juga mendesak Jabatan Perhutanan Kelantan menyiasat insiden melibatkan pegawai yang didakwa mengeluarkan ancaman kepada Chi Too,” kata kumpulan-kumpulan itu.
IoJ, FCCM dan GERAMM menegaskan wartawan harus dilayan dengan penuh hormat manakala pegawai-pegawai dan jabatan kerajaan harus bertanggungjawab atas tindakan mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan