Jumaat, 27 Januari 2017

SPRM tuju amaran kepada “ikan jerung” atau sekadar “ikan bilis”?

Roketkini.com.
 



 KUALA LUMPUR: Adakah amaran “tunggu” Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap ahli politik yang terlibat rasuah itu ditujukan khas kepada “Malaysia Official 1” (“MO1”) yang dirujuk secara meluas sebagai perdana menteri?

Atau ia sekadar peringatan keras kepada “ikan bilis” sambil membiarkan “ikan jerung” dilepaskan begitu sahaja?

Demikian yang dipersoalkan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang terhadap kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad yang memberi peringatan terhadap ahli politik yang melakukan rasuah bahawa mereka akan ditangkap tidak lama lagi.

Kepada ahli politik yang korup, saya ada satu perkataan sahaja – tunggu. Apa yang pasti kita takkan lepaskan sesiapa yang terlibat, tak kira dia ahli politik, ahli perniagaan, atau pegawai GLC (syarikat berkaitan kerajaan) di Malaysia ini,” kata Dzulkifli dalam temubual bersama Astro Awani malam semalam.

Mengulas lanjut kenyataan itu, menurut Kit Siang, rakyat negara ini sudah muak dengan pelbagai alasan SPRM apabila “rasuah besar-besaran” melibatkan pemimpin politik dibiarkan begitu sahaja seolah-olah mereka satu “spesis” yang harus dilindungi.

Alasan kekurangan peruntukan untuk mengaji kakitangan antaranya, kata beliau, adalah tidak boleh diterima kerana SPRM menerima RM250 juta peruntukan pada 2016 iaitu bersamaan enam kali ganda peruntukan yang diterima Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada tahun 2000.

“Bolehkah Dzulkifli keluarkan laporan yang menunjukkan bahawa SPRM enam kali ganda lebih efektif daripada BPR pada 2000 dalam membasmi gejala rasuah, menahan dan menghukum sekecil-kecil dan sebesar-besar pesalah rasuah?” soalnya dalam kenyataan, hari ini.

Namun, katanya yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah, dengan peruntukan yang lebih tinggi itu kedudukan Malaysia mengikut laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) oleh Transparency International (TI) masih ditahap yang rendah malah terus merosot sejak 2001.

“Kedudukan Malaysia pada tahun 2001 menurut CPI yang dikeluarkan TI itu adalah di kedudukan 36 daripada 91 negara dengan skor 50 daripada 100.

“Namun pada tahun lalu, kedudukan itu jatuh ke tangga 55 daripada 176 negara dengan skor yang lebih rendah di bawah separuh iaitu 49.

“Adakah ini peningkatan prestasi sebanyak enam kali ganda SPRM berbanding BPR pada tahun 2000?” soalnya. 

BPR merupakan agensi terdahulu yang diberikan tanggungjawab menjalankan tugas membanteras kegiatan rasuah di negara ini sebelum digantikan dengan SPRM pada 2009. – Roketkini.com.

Tiada ulasan: