Oleh Nur Atiqah Abd Samad
SHAH ALAM: PAS melahirkan rasa keliru mereka terhadap tindak-tanduk Tun
Dr Mahathir Mohamad yang melebihi Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dalam mengeluarkan
kenyataan bersabit kerjasama dengan parti itu.
Menurut Timbalan Presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Tun M hanya
sekadar penasihat parti yang tidak terlibat dalam perbincangan dan
rundingan yang berlaku antara PPBM-PAS.
"(Sekarang)
ni presiden parti adalah Tan Sri Muhyiddin, Tun M sebagai penasihat.
Dia (Muhyiddin) tidak laju (keluarkan kenyataan). Banyak kenyataan
dikeluarkan Tun M dan presiden (Muhyiddin) tak ada kenyataan. Sepatutnya
kenyataan dikeluarkan presiden, Tun M tak terlibat dalam perbincangan
dan rundingan dan dia tak tahu apa berlaku dan dibincangkan.
"Tan Sri Muhyiddin dan Mukhriz memahami apa yang kita bincang selama ni
pun, cuma saya fikir PPBM perlu selesai hal dalaman (parti) siapa yang
nak kena ikut? Presiden ke penasihat? Kami pun jadi pening kepala juga,"
katanya kepada Antarapos.
Sehubungan dengan itu, Tuan Ibrahim meminta kepimpinan tertinggi PPBM
untuk menyelesaikan perkara ini terlebih dahulu kerana ia melibatkan
masalah dalaman parti yang tidak boleh dicampuri PAS.
"Ini urusan dalaman parti Bersatu (PPBM) yang sepatut diselesaikan,
sampai ada orang tanya siapa presiden sekarang dalam Bersatu (PPBM) ni?,
soal beliau lagi.
Tun M kerap kali dilihat melontarkan kritikan keras kepada PAS bersabit
hubungan kerjasama mereka, berbanding dengan Muhyiddin yang lebih
berlembut dan berhati-hati untuk mempengaruhi parti itu turut serta
dalam pakatan pembangkang pada pilihan raya akan datang.
Terbaru,
Tun M menyalahkan PAS akan menjadi penyebab memecah-belahkan undi
pembangkang sekaligus memberi kemenangan kepada Barisan Nasional (BN).
Malah Tuan Ibrahim menafikan PAS adalah parti yang 'degil' untuk diajak
bekerjasama, sebaliknya parti itu sentiasa membuka pintu rundingan
dengan mana-mana parti, asalkan mereka menghormati dasar perjuangan
masing-masing.
"PAS sentiasa buka pintu rundingan dengan mana-mana pihak yang
menghormati dengan apa yang diperjuangkan PAS, kita perlu menghormati
sebagaimana PAS menghormati dasar-dasar parti lain.
"PAS bukan parti yang keras, degil nak bincang sebab dalam
banyak-banyak parti politik di Malaysia, PAS adalah satu-satunya parti
yang mengadakan hampir kerjasama dengan semua parti-parti yang ada hari
ini," tegas beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan