Roketkini.com
PETALING JAYA: Hanya dengan cara mendedahkan akaun perbelanjaan Program PERMATA Negara (PERMATA) secara umum dapat menyakinkan rakyat terhadap ketelusan badan itu dalam memperjuangkan kepentingan pendidikan awal kanak-kanak (ECCE).
Tambahan pula, PERMATA sebagai agensi kerajaan perlu bertanggungjawab untuk berbuat demikian khususnya kepada rakyat yang menjadi antara pembayar cukai utama di negara ini, tegas ADUN Damansara Utama, Yeo Bee Yin.
Ekoran itu, katanya, pelawaan penaung PERMATA, Datin Seri Rosmah Mansor untuknya sebagai wakil rakyat meneliti dan melawat pusat program tersebut tidak seharusnya disambut prejudis pegawai khas isteri Perdana Menteri itu, Datuk Rizal Mansor.
“Rizal berkata yang saya hanya berminat untuk meneliti buku akaun (PERMATA). Ia tidak benar. Saya (sebenarnya) mahu mendapatkan gambaran sepenuhnya mengenai bagaimana PERMATA digerakkan.
“Lebih-lebih lagi dalam hal pengurusan kewangan (PERMATA), kerana ia adalah bahagian yang amat penting dalam menentukan penilaian prestasi sesebuah agensi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan kesediaan Rosmah dan Rizal untuk menyahut cabarannya dalam mendedahkan butir akaun PERMATA demi membuktikan kepada orang ramai bahawa program itu benar-benar telus dan berkesan dari segi pengurusan kewangan.
Bee Yin seperti yang dilaporkan Roketkini sebelum ini mengkritik PERMATA ekoran ketiadaan halatuju strategik oleh pihak kerajaan dalam memastikan wujudnya penjagaan kanak-kanak bermutu tinggi, walaupun mendapat peruntukan besar setiap tahun.
Rosmah seperti yang dilaporkan media mempelawa Bee Yin melawat pusat program tersebut bagi tujuan untuk mengikis tanggapan negatif ramai pihak terhadap usaha yang dipelopornya itu sejak 2007, bagaimanapun ia disambut hambar Rizal.
PERMATA mendapat perhatian baru-baru ini, setelah penganugerahan ‘Lead By Example’ kepada Rosmah oleh badan agensi antarabangsa dihentikan pada saat-saat akhir ekoran terdapat keraguan mengenai sumber dana yang diperolehi program tersebut. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan