Oleh Haizal Yatiran
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng sedia digantung
daripada sidang Dewan Rakyat kerana didakwa "menghina" Speaker Dewan
Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia minggu lalu.
"Ia fakta. Ia bukan subjudis, ia fakta. Sidang media ini sebagai balas
kepada sidang media dia (Pandikar). Berani kerana benar," beliau berkata
demikian ketika ditanya pemberita tentang kesediaannya untuk digantung
dari sidang Dewan Rakyat.
Sebelum ini satu usul dijangka dikemukakan untuk menggantung Lip Eng
selama enam bulan, yang dijangka dibentangkan oleh Menteri di Jabatan
Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Lip Eng mendakwa Pandikar mengarahkan beliau keluar daripada Kamar Khas
yang bersidang, sebelum sempat membahaskan ucapannya mengenai
belanjawan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Beliau mendakwa Pandikar memberi 'syarahan' mengenai isu subjudis saman
Jabatan Keadilan Amerika Syarikat, sebelum mereka saling menjerkah
antara satu sama lain dan Lip Eng diarah keluar daripada sidang itu.
Azalina turut berkata, tindakan Lip Eng itu tidak profesional dan
beremosi, sekaligus merugikan rakyat Segambut yang memilih beliau
sebagai anggota Parlimen kawasan berkenaan.
Beliau berkata penghinaan terhadap Speaker yang menjalankan tugas
sebagai pengerusi dewan bermaksud penghinaan kepada Dewan Rakyat, yang
sekaligus mencemarkan nama baik dan prestij dewan yang mulia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan