Oleh Abdul Rahman Malik
[ULASAN] PAS bukan
berbuat bodoh. Ia tidak keluar Dewan Jumaat lalu kerana mahu membezakan
tarbiyah politiknya dengan PKR, DAP dan Amanah. Membangkang tidak
semestinya memboikot perbahasan.
PAS mahu meneliti cadangan Bajet 2017 Menteri Kewangan, Datuk Seri
Najib Tun Razak, terlebih dahulu sebelum memberi komen. PAS percaya
berlandaskan perbahasan yang sihat dan adil, barulah rakyat mendapat
manfaat sepenuhnya.
PAS bukan tidak boleh membaca dan menganalisis apa yang berlaku di
persada politik tanah air. PAS juga tidak setuju cara 1MDB diuruskan.
PAS juga ada pendirian tetapi mahu menzahirkannya menurut cara yang
budiman dan betul.
"Kita ada cara tersendiri melalui peraturan dewan... Saya tidak tahu
rancangan (keluar Dewan) itu. Terpulang mereka berkenaan dengan MO1.
Kita (PAS) pun persoal juga siapa MO1," kata Naib Presiden PAS, Idris
Ahmad.
Watak politik PAS semakin berubah dan membentuk entiti baharu dan
segar. Ia tidak mudah melatah dan setiap tindakannya nampaknya disuluh
pendekatan lebih yakin dan beradab.
PAS pembangkang berhemah, matang dan sopan
PAS mengulit politiknya seberapa matang, sopan dan sejahtera termampu.
Reaksinya terhadap isu dan serangan politik kawan dan lawan disambut
dengan tenang dan berhemah.
Namun PAS tetap melaungkan ia parti pembangkang – saingan kerajaan Umno
dan Barisan Nasional (BN). Di segi syaksiahnya PAS lebih selesa
mempamerkan jatidiri berbeza dengan cara pemikiran dan perangai
pembangkang lain.
Langkah politiknya banyak disandarkan kepada semangat perlembagaan
negara, undang-undang, protokol dan adab Islam. Paling diutamakan ialah
kesejahteraan rakyat dan negara.
Ketika parti-parti pembangkang lain cuba menyuntik rasa cemas dan
curiga dalam jiwa dan benak rakyat, PAS memilih bertenang dan mendepani
masalah rakyat dan kerajaan dengan cara benar dan bermaruah.
Dalam menentukan kesahihan dan kewibawaan pemimpin serta pemerintah,
PAS memilih pentaksiran prestasi yang adil dan memelihara maruah pihak
terbabit. Ini bagi menghayati doktrin bermasyarakat Islam.
Paling utama, PAS sudah tidak teruja dengan jalan songsang menukar
kerajaan. Ini kerana semangat perlembagaan negara sudah menetapkan
pemerintah dan pemimpin ditentukan oleh rakyat melalui pilihanraya.
Justeru PAS menolak cara menjatuhkan dan menukar kerajaan melalui
demonstrasi jalanan. PAS mengumumkan tidak bersetuju dengan pendekatan
Deklarasi Rakyat Tun Mahathir Mohamad atau Gerakan Bersih 5.0.
***RUU 355: Kerjasama PAS terbuka
Saban hari PAS semakin giat dan yakin dengan pegangan politiknya. Ia
bersikap terbuka pada mana-mana pihak yang mahu berunding dengannya demi
kemaslahatan umat.
Terbaharu PAS memberitahu Dewan Rakyat bahawa tidak salah berunding
dengan mana-mana pihak termasuk Kerajaan Persekutuan dalam isu pindaan
Akta 355 bagi memartabatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah di negara ini.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, perkara yang
berkaitan hal ehwal Islam adalah tanggungjawab orang Islam tanpa mengira
parti politik atau fahaman ideologi.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, semua
pihak perlu bersikap terbuka atas prinsip demokrasi dan Perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.
"Adalah menjadi tanggungjawab semua penganut Islam untuk melaksanakan ajaran berkaitan kepentingan bersama masyarakat Islam.
"Kalau sekiranya berkait dengan kehidupan seperti hal lebuh raya,
jambatan Pulau Pinang atau macam-macam lagi, boleh pula berunding antara
kerajaan negeri dengan Kerajaan Pusat.
"Jadi adakah salah kami berunding dengan Kerajaan Pusat di semua
peringkat?," katanya dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat Rabu lalu.
Beliau menjawab pertanyaan Chong Chieng Jen (DAP-Kuching) yang
mempersoalkan kenapa PAS rela diperalatkan oleh Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Tun Razak dalam isu pindaan akta itu sehingga memecahbelahkan
perpaduan di antara parti pembangkang.
Abdul Hadi memperjelaskan bahawa tidak ada paksaan kepada mana-mana
negeri atau ahli Parlimen yang tidak mahu menyokong rang undang-undang
itu untuk diluluskan.
Katanya, ia tidak sepatutnya menimbulkan ketegangan
di antara agama
kerana usul persendirian yang mahu dibawakan itu tidak ada kena-mengena
dengan hudud dan hanya melibatkan undang-undang peringkat negeri.
"Sepatutnya kita boleh berdialog secara harmoni dengan tokoh-tokoh agama," katanya.
Mulanya pendekatan ini tidak begitu digemari beberapa kerat pemimpin
PAS sendiri. Ada menganggap sikap ini apologetik dan tidak menguntungkan
PAS. Beberapa kerat pemimpin meninggalkan PAS.
PAS 'insaf' jalin kerjasama dengan DAP
PAS mula mencermin diri apabila dibalun hebat oleh DAP. Bagi parti
sekular itu PAS tidak menepati janji dan sukar dipercayai. Sasaran DAP
ialah presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang. DAP memutuskan
hubungan dengan beliau.
Adalah jelas DAP lebih senang berunding dengan golongan profesional
PAS. Mereka faham pemikiran DAP. Namun Haji Hadi segera mengesan
muslihat DAP. Ia cuma mahu memperkotak-katikkan PAS.
Lantas apabila golongan pro-DAP dalam PAS kalah dalam muktamar lebih
setahun lalu, kumpulan ini menubuhkan Parti Amanah Negara (Amanah) dan
segera diterima masuk menjadi kerabat Pakatan Harapan bersama PKR.
Haji Hadi dan kepimpinan PAS lain mulai muhasabah diri dan insaf bahawa
sejak bergabung dengan PKR dan DAP pada 2008, PAS semakin hilang
jatidirinya sendiri sebagai sebuah parti Islam.
Lantas apabila PAS mengorak langkah melaksanakan hukum syarak,
hubungannya dengan DAP mulai berderai. PAS insaf dalam kelekaan mahu
berkuasa, perjuangan pokoknya menyusun carahidup rakyat menurut Islam,
sudah terabai.
Yang mengecewakan PAS ialah persefahaman awal bahawa setiap kerabat
Pakatan Rakyat bebas memperjuangkan pemikiran dan ideologi
masing-masing, tidak mempunyai nilai.
DAP bermati-matian mahu menyekat hasrat melaksanakan syariat Islam.
Sementara PKR pula tidak menunjukkan komitmen yang tinggi pada usaha
PAS.
DAP menyindir dan mengkritik PAS, terutama Haji Hadi secara terbuka.
Namun reaksi PAS ialah, rapatkan saf dan fokus pada inti perjuangannya –
laksana ajaran Islam.
Ketika itu PAS sedar bahawa bukan parti sekular DAP sahaja yang ragu,
ngeri dan kurang menyukai perjuangan PAS. Satu lagi kerabat pakatan
rakyat, PKR, pun tidak senang dengan fokus baru PAS.
Keadaan ini agak menyedihkan kerana sebahagian besar pemimpin
Melayu-Islam PKR sedikit sebanyak pernah terdedah dengan pemikiran
gerakan Islam seperti Angkatan Belia Islam (Abim).
PAS tidak bercadang mencabar pemikiran sedemikian. Ia mahu menghidupkan
nilai dan semangat Islam dalam perjuangan politiknya. Penghijrahan
golongan demokrat keluar PAS memudahkan PAS membina semula jatidirinya.
Potensi dan kemampuan politik PAS tinggi. Ia tidak perlu berebut
pengaruh dengan DAP, PKR, Amanah dan juga Umno. PAS percaya 'tidak kan
hilang bisa ular yang menyusur akar'.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan