shahbudindotcom
Kontrak
penganjuran Fomula 1 di Litar Sepang adalah sehingga 2018 dan ketika
nasib perlumbaan itu dijangka diputuskan pada minggu depan berikutan
kemerosotan jualan tiket yang mendadak sejak 2014 yang lalu, Menteri
Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin pantas menyarankan agar perlumbaan
itu segera diberhentikan.
Saya
rasa kita perlu berhenti menganjurkan perlumbaan Formula 1,
sekurang-kurangnya untuk sementara waktu. Kos terlalu tinggi, pulangan
terhad, kata beliau,
Tampak dengan saranan KJ itu seperti satu lagi legasi Tun Mahathir Mohamad bakal dilenyapkan.
Dua
minggu lalu, Mokhzani Mahathir diminta meletakkan jawatan sebagai
Pengerusi Litar Sepang, kini perlumbaan Formula 1 di negara ini yang
merupakan cetusan idea Tun Mahathir pula mahu dimangsakan.
Saranan
KJ mahu menghentikan perlumbaan Formula 1 pula hanya menyusul beberapa
hari setelah Najib mengumumkan "kematian" visi Wawasan 2020 untuk
digantikan dengan impian Transformasi Nasional 2050 atau TN50
sebagaimana yang diumumkannya dalam pembentangan Bajet 2017.
Dari
segi pertimbangan kos dan bagi menjimatkan perbelanjaan wang negara di
ketika suasana ekonomi sedang suram, saranan KJ itu tidaklah sukar
untuk difahami. Ada logik dan rasionalnya.
Tidak
dinafikan kos penganjuran perlumbaan Formula 1 adalah tinggi, malah
pelaburan membina litarnya saja berjumlah ratusan juta ringgit. Tetapi
Tun Mahathir membawa perlumbaan itu ke Malaysia dengan tujuan agar
negara kita lebih dikenali di seluruh dunia.
Perlumbaan
Formula 1 dipancarkan secara langsung ke banyak negara di seluruh dunia
dan peminatnya juga berjuta jumlahnya. Maka, secara langsung nama
Malaysia lebih dikenali dan meniti di bibir antarabangsa melaluinya.
Diambil
daripada semua itu, nilai kos berbanding manfaat yang diperolehi negara
daripada perlumbaan tersebut jauh lebih berganda. Itu belum dikira lagi
berkembangnya minat dan pertumbuhan lain di sebalik penganjuran
perlumbaan paling berprestij itu.
Begitulah cara Tun Mahathir berfikir untuk memajukan negara serta untuk merangsang minat rakyat terhadap sesuatu perkara.
Harus
diakui, sejak Najib memimpin negara, perlumbaan Formula 1 sebenarnya
tidak diperlukan lagi unfuk mempromosi negara ini. Isu 1MDB saja jauh
lebih lumayan nilai promosinya untuk Malaysia, malah ia percuma lagi.
Sukar
untuk mencari ada syarikat milik kerajaan yang hebat seperti 1MDB
sehingga mampu menyebabkan dua buah bank ditutup di negara lain dan
beberapa negara lain melakukan penyiasatan serta pendakwaan. Jika
perbicaraan DOJ di Amerika bermula nanti, pasti lebih banyak lagi
promosi percuma untuk Malaysia.
Untuk
itu, sebarang bentuk promosi yang perlu mengeluarkan belanja seperti
penganjuran Formula 1 adalah suatu pembaziran. Tentu KJ sudah dapat
melihat bahawa selain kos, terus mengadakan perlumbaan Formula 1 juga
tidak lagi bermanfaat kerana promosi melalui 1MDB boleh dikata
diperolehi setiap hari secara percuma.
Sebab
itu, KJ juga kata sekurang-kurangnya penganjuran itu dihentikan buat
sementara. Maknanya, selagi isu 1MDB masih ada dan diperkatakan di
seluruh dunia untuk beberapa tahun mendatang, jimatkanlah wang dengan
menghentikan seketika penganjuran Formula 1 itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan