PETALING JAYA: Polis akan mengambil kenyataan daripada 3 bekas menteri
Kabinet esok atau Isnin berhubung dakwaan mendedahkan maklumat sulit
kerajaan mengenai 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Mereka ialah bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin,
bekas menteri pembangunan wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, dan
bekas menteri kewangan kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.
Mereka membuat kenyataan kritikal mengenai 1MDB di Dewan Rakyat, yang
kemudiannya ditegur speaker sebagai berkemungkinan melanggar sumpah
kerahsiaan.
Laporan polis juga dibuat 2 kumpulan, Jaringan Melayu Malaysia dan Sahabat N87 cawangan Wilayah Persekutuan.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata: “Kami membuka
kertas siasatan dan akan menghubungi mereka untuk disoal secepat
mungkin. Mudah-mudahan esok atau lusa,” lapor New Straits Times.
Khalid dipetik sebagai berkata: “Saya ingin mengingatkan kakitangan
kerajaan, sama ada mereka yang masih bekerja atau meninggalkan
perkhidmatan, berhati-hati dan bertanggungjawab apabila membuat
kenyataan kerana jika mereka mendedahkan rahsia kerajaan, tindakan akan
diambil terhadap mereka).
“Apabila ia melibatkan rahsia kerajaan, kita perlu berhati-hati kerana
terdapat banyak implikasi kerana apabila rahsia kerajaan dinyatakan, ia
boleh mengancam keselamatan negara dan ekonomi.”
Muhyiddin dikatakan mendedahkan maklumat sulit mengenai 1MDB, firma
pelaburan negara, ketika berucap pada perbahasan Bajet 2017 di Dewan
Rakyat.
Menurut laporan itu, maklumat itu diperoleh ketika beliau masih memegang jawatan sebagai timbalan perdana menteri.
Muhyiddin digugurkan daripada Kabinet pada Julai tahun lalu selepas
mengkritik pengendalian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terhadap
1MDB, dan dibuang daripada Umno awal tahun ini.
Beliau kini menjadi presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia.
Menurut laporan itu, Shafie juga mempersoalkan beberapa keputusan
kerajaan mengenai 1MDB, manakala Husni berkata negara ini masih boleh
menghadapi kesan ekonomi jika isu 1MDB tidak dikendalikan dengan betul.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan