KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi memerintahkan Naib Presiden PKR, Mohd
Rafizi Ramli membayar ganti rugi RM200,000 kepada National Feedlot
Corporation Sdn Bhd (NFCorp) dan Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Dr
Mohamad Salleh Ismail, kerana memfitnah.
Ia adalah berhubung kenyataan Mohd Rafizi berkaitan pinjaman pembelian hartanah KL Eco City, Bangsar.
Pesuruhjaya Kehakiman Azizul Azmi Adnan membuat perintah itu selepas
membenarkan tuntutan saman NFCorp dan Mohamad Salleh selaku plaintif
selepas mendapati kenyataan dikeluarkan Mohd Rafizi, adalah memfitnah.
Azizul Azmi dalam penghakiman beliau berkata, perkataan 'diselewengkan'
dikeluarkan Mohd Rafizi adalah serius dan ia membayangkan perlakuan
jenayah.
Dalam writ saman dan penyata tuntutan difailkan pada 23 Jun 2013,
plaintif menamakan Mohd Rafizi dan pemilik portal Malaysiakini, Mkini
Dotcom Sdn Bhd selaku defendan pertama dan kedua.
Plaintif mendakwa, Mohd Rafizi pada 7 Mac 2012, mengeluarkan kenyataan
fitnah pada satu sidang akhbar di ibu pejabat PKR berhubung pembelian
hartanah KL Eco City dan berita itu disiarkan Malaysiakini pada hari
sama.
Plaintif berkata, saman berkenaan difailkan kerana kerugian yang
ditanggung susulan pembohongan, penyebaran maklumat mengelirukan serta
pendedahan maklumat sulit perbankan dan fitnah oleh defendan.
Mereka menuntut ganti rugi am, teladan dan ganti rugi teruk, faedah,
kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah selain memohon
perintah injunksi bagi menghalang defendan daripada terus mengelirukan
dan menipu orang ramai berhubung isu pinjaman itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan