Pengumuman mengenai status subsidi minyak masak akan diumumkan secara rasmi oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin esok.
Sidang media khas itu akan diadakan di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan kira-kira jam 10.30 pagi esok.
Hamzah yang ditemui media selepas Majlis Penghargaan Atlet Paralimpik Rio 2016, Amazing Heroes tengahari tadi enggan memberi bayangan sama ada subsidi minyak masak itu akan dikekalkan atau tidak.
Sebaliknya, beliau berulang kali menegaskan bahawa kerajaan prihatin dengan keadaan semasa rakyat dan akan membuat keputusan terbaik bagi kepentingan semua pihak dan dalam masa yang sama mencari jalan supaya subsidi minyak masak tidak disalahgunakan.
"Minyak masak ini baharu sahaja diserahkan kepada kementerian kami dan apabila saya mengambil alih isu ini, saya memang sedar terdapat banyak ketirisan yang berlaku ke atas subsidi minyak masak.
"Jadi kami melihat langkah rasionalisasi mungkin mampu membendung masalah tersebut.
"Namun perlu diingatkan bahawa saya sering menekankan kementerian ini adalah sebuah kementerian yang prihatin manakala Perdana Menteri pula selalu menyatakan komitmen 'Rakyat Didahulukan, Percapaian Diutamakan'," katanya.
Beliau turut melahirkan rasa tidak senang apabila rakyat terlalu cepat panik dan membuat keputusan melulu sebaik sahaja mendengar khabar angin mengatakan harga minyak masak akan dinaikkan.
Berita tersebut tersebar selepas Persatuan Pekilang-Pekilang Minyak Masak Malaya yang mendakwa subsidi minyak masak akan ditarik balik.- MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan