Jumaat, 28 Oktober 2016

‘Sumpah kerahsiaan bukan untuk lindung salah laku’

MALAYSIAKINI


Pakar perlembagaan, Profesor Abdul Aziz Bari mengingatkan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia bahawa sumpah kerahsiaan bertujuan untuk melindungi perkara yang sah dan mengikut undang-undang.

"Ia (sumpah kerahsiaan) bukan untuk melindung salah laku," kata Abdul Aziz dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini.

Ini, katanya, adalah kerana skandal 1MDB banyak melanggar undang-undang di negara ini.

"Dalam mana-mana kes, jika Pandikar benar-benar serius, biarkan mahkamah yang membuat keputusan.”

Aziz mengulas kenyataan Pandikar yang mendakwa bekas anggota kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah mungkin melanggar sumpah kerahsiaan apabila mereka menyentuh mengenai 1MDB dalam ucapan di Parlimen.

Pandikar berkata, keputusan kabinet itu belum dilaksanakan dan bahawa ia adalah maklumat rahsia kabinet.

Bagaimanapun bagi Aziz, ini adalah satu lagi contoh Pandikar menggunakan kuasanya untuk "menekan dan menyelamatkan kerajaan semasa" dan bukannya untuk "memperkasakan demokrasi dan akauntabiliti".

"Itu adalah salah mengikut perlembagaan," kata Aziz.

Pandikar, katanya, melakukan kesilapan yang sama apabila beliau menghalang usul undi tidak percaya terhadap kerajaan yang diterajui oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Menurut Aziz, speaker itu juga telah menjadikan perbahasan 1MDB di Parlimen sesuatu yang mustahil.

"Kedua-dua proses dibenarkan oleh perlembagaan,” katanya.


Tiada ulasan: