PETALING JAYA: Tiga kali pencemaran sungai berpunca daripada bahan
kimia yang sama menunjukkan ada 'muslihat politik' yang cuba ditekan ke
atas kerajaan negeri Selangor, kata Exco negeri itu, Ean Yong Hian Wah.
ADUN Seri Kembangan itu berkata, pihak yang cuba mensabotaj bekalan air
bersih kepada lebih sejuta pengguna itu, bermatlamat mahu memburukkan
nama Selangor, menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Ean berkata pihak tidak bertanggungjawab itu sebelum ini berbuat
demikian berhampiran sebuah kilang haram di Selangor dan kemudiannya
beralih ke negeri lain untuk melancarkan sekurang-kurangnya dua kali
lagi serangan.
Sehubungan itu, pengerusi jawatankuasa tetap pembangunan kampung baru
dan penyelesaian kilang haram Selangor itu berkata, kerajaan negeri
tidak patut dipersalahkan atas masalah gangguan bekalan air yang
dihadapi penduduk Selangor.
“Kalau tidak ada kilang-kilang haram di Selangor sekalipun, air tetap
akan tercemar jika ada orang berniat mensabotaj,” katanya yang menafikan
sumber bekalan air kerap tercemar disebabkan kerajaan negeri tidak
mengawal kewujudan kilang haram.
Beliau bagaimanapun tidak menafikan ada kilang haram di sekitar sumber
bekalan air, tetapi ada yang terletak di kawasan terpencil dan tidak
mudah dikesan, menyebabkan pihak berkuasa terlepas pandang, walaupun
penguatkuasaan sering dijalankan.
Masalah gangguan bekalan air berlaku di sekitar Selangor dan Kuala
Lumpur, ekoran penutupan LRA Semenyih, Langat dan Cheras sejak bulan
lalu, akibat pencemaran bau di Sungai Semenyih dan Sungai Semantan di
Pahang.
Akhir bulan lalu, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor)
menggantung seorang pekerjanya pada 6 September lalu kerana disyaki
terlibat dalam perbuatan khianat menyebabkan gangguan bekalan air hingga
menjejaskan 340,000 pengguna di Klang dan Petaling, 1 September lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan