"Janganlah
nanti kepada menteri-menteri dan timbalan-timbalan menteri apabila
tidak ada dalam kerajaan, tiba-tiba membuat u-turn, sedangkan dasar itu
adalah dasar yang beliau cadangkan semasa dalam kerajaan,".
Demikian ungkapan peringatan daripada Ahli Parlimen Sabak Bernam,
Mohd Fasiah Mohd Fakeh ketika mengambil bahagian dalam perbahasan Bajet
2017 di Parlimen hari ini.
Beliau membuat peringatan itu, selepas ada seorang bekas menteri
mempersoalkan bajet yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Tun Razak dan isu 1Malaysian Development Berhad (1MDB).
Tanpa menamakan bekas menteri itu, tetapi jelas Mohd Fasiah
menujukan sindiran itu kepada bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri
Ahmad Husni Hanadzlah yang mempersoalkan kenapa 1MDB ditubuhkan dan
tujuannya ketika beliau tidak lagi sebagai anggota Kabinet.
Pada masa sama, beliau memuji Tan Sri Noh Omar walaupun tidak
dilantik sebagai menteri sebelum ini, tetap masih setia kawan
mempertahankan kerajaan dan parti.
"Pemimpin seperti Noh ini yang perlu ada dalam parti dan kerajaan
sebab dia tidak memberontak kepada kerajaan walaupun tidak disambung
perkhidmatannya sebagai menteri.
"Hasil berkat kesabarannya yang tinggi dan komitmennya kepada parti
serta kerajaan, telah membuka pintu hati Perdana Menteri untuk
mengambil semula berada dalam Kabinet," katanya.
Mohd Fasiah turut memberitahu, kepada menteri dan timbalan menteri
yang tidak dilantik lagi, apabila mereka berehat, pucuk kepimpinan dan
jentera parti akan berterusan memberi sokongan.
"Saya merakamkan ribuan terima kasih dan tahniah kepada Tanjung
Karang, walaupun beliau tidak dilantik menjadi menteri tempoh hari, dia
masih lagi setia kawan untuk mempertahankan BN," katanya.
Beliau turut memuji Najib bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk
Seri Ahmad Zahid Hamidi adalah gandingan mantap dalam membawa kerajaan
Malaysia pada landasan yang betul dan menjadi negara disegani dunia. -
MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan