Khamis, 27 Oktober 2016

MIC batal Rumah Terbuka Deepavali

Oleh Bernama
 
 
MIC
MIC
 
 
Bagi menghormati mangsa yang terlibat dalam insiden kebakaran Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, MIC membatalkan rumah terbuka Deepavalinya.
 
Setiausaha Agung MIC, Datuk A. Sakthivel berkata, keputusan itu dibuat kepimpinan parti yang sedih dan berdukacita atas kebakaran yang turut meragut enam nyawa, kelmarin.
 
"Walaupun kita telah membuat persiapan untuk majlis rumah terbuka itu pada 29 Okt ini namun, MIC membuat keputusan untuk membatalkan majlis sambutan itu," katanya kepada Bernama, di sini, hari ini.
 
Majlis rumah terbuka Deepavali anjuran MIC dijadualkan di perkarangan Batu Caves pada 29 Oktober ini. 
 
Sakthivel berkata, MIC memohon maaf atas pembatalan acara tradisi yang akan dihadiri 10,000 pengunjung setiap tahun.
 
Dalam kejadian kira-kira 9 pagi semalam, enam pesakit maut apabila wad Unit Rawatan Rapi di tingkat dua bangunan lima tingkat HSA terbakar, manakala seorang lagi pesakit berjaya diselamatkan. - MalaysiaGazette
 
 

Tiada ulasan: