OLEH SYASYA SUFIAN
SHAH ALAM- Lembaga Zakat Selangor (LZS) membantu keluarga
Mohd Hairolnizam Mohd Yusof, 33 yang menjadi viral setelah dikongsikan
Page Brainy Bunch pada 27 Oktober lalu.
Menurut laman rasmi LZS, setelah hasil siasatan dibuat keluarga yang
tinggal di PPR Kota Damansara itu dikategorikan sebagai asnaf miskin.
“LZS hadir menziarahi keluarga ini dan menyalurkan bantuan kepada
mereka kerana berdasarkan had kifayah penama layak sebagai asnaf miskin.
“Sumbangan segera telah diberikan sebanyak RM500 dan cadangan bantuan
bagi keluarga ini adalah pendidikan, kewangan, makanan bulanan dan
bantuan-bantuan lain yang dilihat perlu,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, menurut page Brainy Bunch, anak-anak Hairolnizam hanya tidur di lantai kerana panas akibat tiada bekalan elektrik.
Beliau yang bekerja sebagai pengawal keselamatan hanya berpendapatan
RM1,100 sebulan dan mempunyai enam orang anak. Tiga orang daripadanya
bersekolah rendah dan isterinya tidak bekerja.
Menurut LZS, keprihatinan masyarakat amat dituntut dalam usaha membantu mereka yang memerlukan.
“Usaha page ini harus dipuji bagi mengumpul dana membantu membiayai
tunggakan bekalan elektrik dan sewa rumah keluarga tersebut,” katanya.
Dalam perkembangan lain, LZS membuat semakan semula Bantuan Asnaf
Fakir dan Miskin untuk Bantuan Kewangan Bulanan, Makanan, dan Sewa Rumah
bagi Siri ke lapan.
Seramai 74 buah keluarga Asnaf Fakir dan Miskin telah diziarahi yang melibatkan enam orang pegawai.
Semakan itu meliputi kawasan kariah Masjid Jamek Sultan Hishamuddin,
Masjid Batu 2 Sepintas, Masjid Pekan Bagan Terap, Masjid Lubuk Pusing
dan Masjid Parit 13 Sungai Panjang.EZY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan