Shakira Buang
Harga minyak masak berkuat kuasa 1 November ini akan mengikut harga pasaran.
Bagaimanapun bagi memastikan golongan sasar yang memerlukan dapat
menikmati subsidi kerajaan, kerajaan mengekalkan harga minyak masak yang
dijual dalam paket 1 kilogram pada harga sekarang iaitu RM2.50 setiap
satu.
"Bagi menentukan rakyat sentiasa menikmati kehidupan yang selesa,
kerajaan sentiasa berusaha mengekalkan subsidi bekalan minyak masak
untuk dinikmati oleh golongan sasaran.
"Saya
nak umumkan harga minyak masak (1kg) dikekalkan sebanyak RM2.50
sekilogram," kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainuddin di Putrajaya pagi
ini.
Antara kategori minyak masak yang terjejas itu termasuk 2kg, 3kg dan
5kg produk minyak campuran serta produk minyak sawit tulen yang dijual
dalam botol lebih besar.
Katanya, susulan penstrukturan semula Skim Penstabilan Harga Minyak
Masak, harga akan mengikut harga pasaran bagi mengelak kerajaan
menanggung kos subsidi hampir RM100 juta sebulan susulan kenaikan harga
minyak olien (minyak sawit diproses).
"Pada Januari tahun lalu, harga olien adalah RM2,341 setiap tan,
namun pada September lalu ia mencecah RM3,000, peningkatan RM600 bagi
setiap tan.
"Langkah ini juga bertujuan mengurangkan pengeluaran minyak masak di
sempadan susulan pembelian minyak masak bersubsidi oleh warga negara
jiran," katanya.
Sebelum ini media melaporkan kerajaan bakal memansuhkan subsidi
minyak masak mulai bulan depan dan bakal menyebabkan harganya meningkat
di pasaran.
Ia juga mencetuskan belian panik di kalangan pengguna menyebabkan berlaku kekurangan bekalan di kedai dan pasar raya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan