Selasa, 25 Oktober 2016

Shafie, Husni salahguna fungsi Parlimen, kata Rahman Dahlan

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menyifatkan tindakan kedua-dua bekas menteri yang mempersoalkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sebagai menyalahgunakan fungsi Dewan Rakyat.
 
Rahman mempersoalkan mengapa selepas tidak menjadi menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah membangkitkan kontroversi hutang kerajaan itu.
 
Sedangkan ujarnya, keputusan tersebut pernah dipersetujui mereka ketika menjadi pegawai tertinggi dalam kerajaan suatu ketika dahulu. 
 
"Memandangkan beliau membahaskannya di parlimen semalam, saya percaya 'standing order' Dewan Rakyat tidak membenarkan seseorang itu memanipulasi fungsi dewan. 
 
"Jika anda adalah menteri kewangan sebelum ini, apa sahaja jawapan yang anda berikan ketika itu, kemudian kini anda kata jawapan itu tidak betul, bermakna anda sudah menyalahgunakan fungsi dewan.
 
"Ironi bukan? Tidak pernah saya lihat dalam mana-mana parlimen dimana menteri yang dahulunya mengiyakan dan bersetuju membuat keputusan akhirnya apabila keluar dari kabinet tidak bersetuju dengan tindakan mereka sendiri," katanya di sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.
 
Reaksi itu diberikan Abdul Rahman selepas Shafie, yang juga bekas menteri kemajuan luar bandar dan wilayah yang berterusan mempersoalkan beberapa keputusan kerajaan, berhubung kontroversi 1MDB ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2017 di Dewan Rakyat semalam.
 
Husni, yang juga bekas menteri kewangan kedua juga turut membangkitkan isu yang sama selain menggesa kerajaan menguruskan ekonomi negara dengan lebih cekap dan telus.
 
Susulan tindakan mereka ini, Rahman mengambil tindakan untuk meneliti semula jawapan yang pernah mereka berikan sewaktu memegang jawatan menteri mengenai 1MDB.
 
"Tidak apa, kita akan jawab sepertimana sebelum ini. Malah kita akan kembalikan jawapan itu berbentuk jawapan yang diberikan mereka ketika di parlimen atau ditemuramah media," katanya.
 
Shafie juga sebelum ini mempertikai tindakan kerajaan menjual dua bidang tanah di Pudu dan Sungai Besi kepada pelabur Cina.
 
Namun hal itu dinafikan Abdul Rahman, dalam sidang media yang sama bahawa dua konsortium yang dimaksudkan, Iskandar Waterfront Holdings (IWH) dan China Railways tidak mengaut kesemua pemilikan tanah-tanah berkenaan. 
 
Sebaliknya China Railways yang juga syarikat milik kerajaan China itu hanya memegang sebanyak 24 peratus pemilikan, manakala 76 peratus lagi dipegang oleh kerajaan Malaysia, termasuk IWH yang merupakan sebuah syarikat negara ini yang dimiliki kerajaan negeri Johor yang dipengerusikan Tan Sri Lim Kang Hoo.
 
 

Tiada ulasan: