PETALING JAYA: Imbuhan wang tunai berjumlah RM25,000 setiap seorang
menanti pemain Kedah sekiranya berjaya menewaskan Selangor pada aksi
final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam ini.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) merangkap Menteri Besar,
Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata skuad Lang Merah juga akan
menyertai perlawanan persahabatan di luar negara sebagai bonus tambahan
sekiranya menjulang trofi Piala Malaysia yang kali terakhir dimenangi
pada 2008.
"KFA memutuskan untuk memberi (imbuhan) sebanyak RM20,000 dan kerajaan
negeri menambah RM5,000 bagi menaikkan lagi semangat pemain," katanya
pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan dengan pemain Kedah di
sebuah hotel, di Subang Jaya, malam tadi.
Pada masa sama, beliau turut mengumumkan Isnin ini sebagai cuti
peristiwa di Kedah sebagai penghargaan kerajaan negeri kepada rakyat
negeri berkenaan yang memberikan sokongan padu kepada pasukan berkenaan
hingga mara ke final Piala Malaysia.
Pengumuman cuti peristiwa itu, kata Ahmad Bashah, selaras dengan Akta Hari Kelepasan Am 1951.
"Sekiranya majikan tidak boleh memberikan cuti pada hari itu, majikan
perlu mematuhi perkara berhubung bayaran gaji dan elaun lebih masa
berganda pada hari berkenaan.
"Namun begitu, majikan juga mempunyai pilihan untuk menggantikan hari
Isnin tersebut kepada hari lain tetapi masih tertakluk kepada peraturan
undang-undang yang berkaitan," tegas Ahmad Bashah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan