Ahad, 30 Oktober 2016

PAS BAKAL KECEWA LAGI...

shahbudindotcom.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Parlimen, Azalina Othman Said dilaporkan berkata, Dewan Rakyat sessi ini mungkin tidak cukup masa untuk pembentangan kali kedua usul persendirian Akta 355 oleh Presiden Pas, Hadi Awang.

Dalam satu wawancara dengan sebuah akhbar Cina, beliau memberitahu, Dewan Rakyat hanya mempunyai baki dua hari selepas perbahasan mengenai Bajet 2017 dijangka selesai, tetapi urusan berkaitan kerajaan perlu diutamakan terlebih dahulu.
 
 
 
 
Mengikut kalender, terdapat 2 atau 3 usul berkaitan kerajaan sedang menanti untuk diluluskan selepas perbahasan bajet itu. Saya tak tahu sama ada kita masa atau tidak kecuali jika semua sanggup bermalam di Parlimen, kata Azalina lagi.

Beliau juga menyebut antara yang menanti dalam agenda selepas selesai perbahasan Bajet 2017 ialah usul menggantung Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng selama enam bulan.

Dengan kenyataan Azalina ini, hampir pasti Pas akan kecewa lagi. Walaupun Azalina menggunakan perkataan "mungkin", ia sebenarnya sudah boleh dianggap mutlak bahawa memang tidak ada masa sama sekali untuk usul tersebut. Sebagai penjaga hal ehwal Parlimen, bicara Azalina adalah kata-kata Najib Razak.

Selepas Hadi Awang diberi ruang oleh kerajaan untuk membentangkan usul itu bagi bacaan kali pertama pada Jun lalu, malangnya sehingga kini ia seperti mahu dibiarkan tergantung begitu saja.

Pas pula sudah bergebang dan berjaja ke sana ini mengenai usul Akta 355 itu bagi sidang Parlimen kali ini. Mereka benar-benar yakin usul itu akan diberi masa untuk dibentangkan, malah pada 15 Oktober lalu, dua hari sebelum Parlimen bersidang, Pas turut mengadakan Himpunan Munajat dan Pidato Perdana di Melaka.

Dipetik dari laman Twitter Ketua Penerangan Pas, Nasruddin Hassan, beliau menggambarkan program tersebut sebagai "Himpunan Munajat dan Pidato Perdana Sokong Pinda Akta 355."

Jika pada hari pertama persidangan Parlimen, usul itu diletakkan dalam agenda keempat, di hari kedua menurun kepada agenda ketujuh, kemudian senyap begitu saja sehinggalah Bajet 2017 dibentangkan, jelas sekarang bahawa selepas perbahasan bajet selesai pun, masih lagi tidak terbuka ruang untuknya.

Speaker Parlimen, Pandikar Amin Haji Mulia sebelum ini ada menyebut, sama ada sesuatu usul persendirian itu dapat dibentangkan atau sebaliknya, adalah terserah kepada kerajaan memutuskannya.
 
 
Dalam maksud yang mudah, jika kerajaan mahu, maka terbukalah ruang seluas-luasnya untuk usul Hadi Awang itu. Sebaliknya, kalau kerajaan mahu berdolak-dalik, macam-macam alasan boleh dicipta untuk menidakkannya.

Soalnya, berapa lama Pas sanggup menunggu lagi untuk usul Hadi Awang itu?

Masihkah Pas tidak mahu percaya bahawa selagi MCA, MIC, Gerakan dan parti-parti di Sabah serta Sarawak membuat bantahan, Najib yang mengetuai UMNO dan kerajaan tidak mungkin berani memberi ruang kepada usul tersebut?

Mungkinkah usul meminda Akta 355 ini bukan saja menjadi usul yang tersangkut untuk bacaan kali pertama saja, bahkan akan terus tergantung untuk selama-lamanya?

Dengan yang demikian, jika Pas masih sayang untuk meminggirkan Najib dan UMNO dalam percaturan politik semasa, walaupun disedari sedang terlibat dalam skandal kewangan terbesar di dunia,  apakah selepas ini parti itu perlu mengadakan lebih banyak program munajat dan solat hajat agar dibukakan pintu hati Najib terhadap usul Akta 355 itu? 
 
 
 

Tiada ulasan: