MALAYSIAKINI
Mana-mana parti politik yang ingin bekerjasama dengan PAS harus
melakukan perubahan untuk menegakkan Islam kerana perjuangan parti itu
membawa ke akhirat kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Katanya, PAS "bukan parti anak tangga" dan ahli parti terlibat perlu
menghormatinya dan melihat sendiri sejauh mana mereka berani menegakkan
Islam.
Tuntutan berkenaan dibuat presiden PAS itu bagi mengelakkan tiada pihak lain mempergunakan PAS.
"Jangan ajak PAS bekerjasama tetapi tidak buat perubahan kepada
Islam, ini tidak betul. Selagi kuasa pemerintahan Islam tidak ditegakkan
selama itulah orang yang memerintah tidak akan kira dosa pahala, akan
rompak harta dan macam-macam.
“Cuma Islam mampu perbetulkan orang, PAS hanya boleh bekerjasama dengan mana-mana pihak yang ingin tegakkan Islam sahaja.
"Dalam hal ini, DAP jelas menentang dasar Islam diperjuangkan. Dan di sana ada juga parti lain yang ikut,” lapor Sinar Harian hari ini.
PAS dilihat menjarakkan diri daripada gabungan Pakatan Harapan
(HARAPAN) selepas memutuskan hubungan dengan DAP selepas kedua-dua parti
itu bekerjasama dalam Pakatan Rakyat.
Bukan pak turut
Kewujudan Parti Amanah Negara (AMANAH) semakin memburukkan hubungan
itu dan PAS sering mengulangi kenyataan bahawa parti itu mengikut
telunjuk DAP.
Pada masa sama PAS bekerjasama dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia
(IKATAN) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Semalaysia (BERJASA) dengan
membawa slogan "politik matang dan sejahtera".
Kemunculan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menambahkan lagi
jumlah pembangkang dalam negara ketika pilihan raya umum mesti diadakan
selewat-lewatnya 2018.
BERSATU ketika ini dilihat cuba menjadi penghubung antara PAS dan HARAPAN.
Abdul Hadi berkata sikap sesetengah parti yang "senyap" dan
seolah-olah "tiada pendirian" adalah petanda untuk menentukan sikap
orang Islam di negara ini.
“Jadi orang PAS kena tengok molek (baik-baik) parti-parti ini sejauh mana mereka boleh bekerjasama dengan kita dalam tegakkan Islam. Penyokong PAS kena reti
(tahu) sampai bila orang hendak guna PAS sebagai anak tangga bukan
jadikan PAS tangga untuk perubahan,” beliau dilaporkan sebagai berkata.
Jelasnya menjadi tanggungjawab ahli PAS mengajak semua pihak -
termasuk pengundi atas pagar - supaya sama-sama boleh membuat perubahan.
“Malangnya pihak yang ajak PAS bekerjasama naik atas kepala PAS dan orang PAS kena sedar perkara ini.
“Islam perlu menjadi pemimpin dan pemerintah bukan Islam menjadi pak
turut, agama dan politik jangan kita letak suku-suku (berasingan),”
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan