shahbudindotcom.
Menteri
di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal
Parlimen, Azalina Othman Said dilaporkan berkata, Dewan Rakyat sessi ini
mungkin tidak cukup masa untuk pembentangan kali kedua usul
persendirian Akta 355 oleh Presiden Pas, Hadi Awang.
Dalam
satu wawancara dengan sebuah akhbar Cina, beliau memberitahu, Dewan
Rakyat hanya mempunyai baki dua hari selepas perbahasan mengenai Bajet
2017 dijangka selesai, tetapi urusan berkaitan kerajaan perlu diutamakan
terlebih dahulu.
Mengikut
kalender, terdapat 2 atau 3 usul berkaitan kerajaan sedang menanti
untuk diluluskan selepas perbahasan bajet itu. Saya tak tahu sama ada
kita masa atau tidak kecuali jika semua sanggup bermalam di Parlimen,
kata Azalina lagi.
Beliau
juga menyebut antara yang menanti dalam agenda selepas selesai
perbahasan Bajet 2017 ialah usul menggantung Ahli Parlimen Segambut, Lim
Lip Eng selama enam bulan.
Dengan
kenyataan Azalina ini, hampir pasti Pas akan kecewa lagi. Walaupun
Azalina menggunakan perkataan "mungkin", ia sebenarnya sudah boleh
dianggap mutlak bahawa memang tidak ada masa sama sekali untuk usul
tersebut. Sebagai penjaga hal ehwal Parlimen, bicara Azalina adalah
kata-kata Najib Razak.
Selepas
Hadi Awang diberi ruang oleh kerajaan untuk membentangkan usul itu bagi
bacaan kali pertama pada Jun lalu, malangnya sehingga kini ia seperti
mahu dibiarkan tergantung begitu saja.
Pas
pula sudah bergebang dan berjaja ke sana ini mengenai usul Akta 355 itu
bagi sidang Parlimen kali ini. Mereka benar-benar yakin usul itu akan
diberi masa untuk dibentangkan, malah pada 15 Oktober lalu, dua hari
sebelum Parlimen bersidang, Pas turut mengadakan Himpunan Munajat dan
Pidato Perdana di Melaka.
Dipetik
dari laman Twitter Ketua Penerangan Pas, Nasruddin Hassan, beliau
menggambarkan program tersebut sebagai "Himpunan Munajat dan Pidato
Perdana Sokong Pinda Akta 355."
Jika
pada hari pertama persidangan Parlimen, usul itu diletakkan dalam
agenda keempat, di hari kedua menurun kepada agenda ketujuh, kemudian
senyap begitu saja sehinggalah Bajet 2017 dibentangkan, jelas sekarang
bahawa selepas perbahasan bajet selesai pun, masih lagi tidak terbuka
ruang untuknya.
Speaker
Parlimen, Pandikar Amin Haji Mulia sebelum ini ada menyebut, sama ada
sesuatu usul persendirian itu dapat dibentangkan atau sebaliknya, adalah
terserah kepada kerajaan memutuskannya.
Dalam
maksud yang mudah, jika kerajaan mahu, maka terbukalah ruang
seluas-luasnya untuk usul Hadi Awang itu. Sebaliknya, kalau kerajaan
mahu berdolak-dalik, macam-macam alasan boleh dicipta untuk
menidakkannya.
Soalnya, berapa lama Pas sanggup menunggu lagi untuk usul Hadi Awang itu?
Masihkah
Pas tidak mahu percaya bahawa selagi MCA, MIC, Gerakan dan parti-parti
di Sabah serta Sarawak membuat bantahan, Najib yang mengetuai UMNO dan
kerajaan tidak mungkin berani memberi ruang kepada usul tersebut?
Mungkinkah
usul meminda Akta 355 ini bukan saja menjadi usul yang tersangkut untuk
bacaan kali pertama saja, bahkan akan terus tergantung untuk
selama-lamanya?
Dengan
yang demikian, jika Pas masih sayang untuk meminggirkan Najib dan UMNO
dalam percaturan politik semasa, walaupun disedari sedang terlibat dalam
skandal kewangan terbesar di dunia, apakah selepas ini parti itu perlu
mengadakan lebih banyak program munajat dan solat hajat agar dibukakan
pintu hati Najib terhadap usul Akta 355 itu?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.