MALAYSIAKINI
Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa bekas peguam negara Tan Sri Abdul
Gani Patail pernah bersemuka dengan Datuk Seri Najib Razak untuk
bertanyakan tentang wang dalam akaun peribadi perdana menteri itu.
Kata bekas timbalan perdana menteri berkenaan Abdul Gani bertanyakan
tentang wang berjumlah RM42 juta yang ada dalam dua akaun persendirian
itu dan ia berkaitan dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM).
Kejadian itu kata Muhyiddin berlaku ketika Abdul Gani masih berkhimat dalam kerajaan sebagai peguam negara.
"Saya diberitahu peguam negara berjumpa perdana menteri dan beritahu,
dalam siasatan dibuat SPRM didapati wang sejumlah itu ada dalam akaun
(perdana menteri).
"Apabila diberitahu kepada perdana menteri, dia kata: Daaak (tidak), tak ada. Tapi disahkan oleh peguam negara, ada
"The money is in your account, sir (Wang itu ada dalam akaun
tuan), tapi dia (Najib) masih berkata: Tak ada. Terbukti wang itu ada
di situ kerana beliau (perdana menteri) membelanjakan wang itu," kata
Muhyiddin.
Beliau berucap di satu majlis ceramah anjuran PAS di Kemaman, Terengganu malam tadi.
Ia turut disiarkan secara langsung melalui akaun Facebook presiden penaja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu.
Muhyiddin tidak menyatakan secara jelas tarikh pertemuan berkenaan
namun ada kemungkinan besar ia terjadi sebelum 28 Julai iaitu tarikh
Abdul Gani disingkirkan daripada jawatanya sebagai peguam negara.
Menurut Muhyiddin Abdul Gani menjelaskan wang bernilai RM42 juta itu
"disuntik" ke akaun persendirian Najib melalui dua syarikat.
Dilaporkan ada beberapa deposit wang dibuat ke akaun Najib namun SPRM
hanya menumpukan siasatan mereka ketika itu kepada dana yang berasal
dari bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Ltd.
Sebelum ini laporan menyebut wang berjumlah RM42 juta dari SRC
International itu dimasukkan ke akaun persendirian perdana menteri pada
26 Disember 2014 dan 10 Februari 2015 selepas disalurkan melalui
syarikat Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd.
Muhyiddin sekali lagi mengulangi kenyataanya bahawa Abdul Gani
memberi penerangan kepadanya dan menunjukkan penyata kewangan mengenai
wang bernilai RM2.6 bilion dalam akaun Najib.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan