Rabu, 24 Ogos 2016

Najib dan anggota kabinet didesak isytihar harta – Pakatan Harapan Perak

PH perak

Roketkini.com


IPOH: Pakatan Harapan (PH) Perak hari ini mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan anggota Kabinet yang lain mengisytiharkan harta kepada Parlimen dengan segera demi membanteras gejala rasuah serta sebagai reformasi institusi kerajaan.

Langkah mengisytiharkan harta itu selaras dengan negara-negara demokrasi lain yang maju termasuk Jepun, Taiwan, Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Kenyataan bersama yang ditandatangani ketiga-tiga pemimpin PH Perak itu turut menyanggah alasan Menteri Wilayah Persekutuan merangkap setiausaha Agong UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan yang sebelum ini menyatakan kebimbangan anak dan isterinya berisiko diculik jika pengisytiharan harta dibuat sebagai tidak masuk akal.

“Alasan yang diberi oleh Tengku Adnan terbukti ia adalah satu usaha licik pemimpin UMNO untuk mengelakkan amalan ketelusan, integriti dan akauntabiliti dalam pentadbiran kerajaan.

“Pakatan Harapan sukacita mengingatkan bahawa negeri Pulau Pinang dan Selangor kini telah meluluskan cadangan untuk Ketua Menteri, Menteri Besar serta barisan EXCO negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan Harapan mengisytiharkan harta mereka kepada Dewan Negeri, malahan kini pegawai DBKL juga dikehendaki melakukan yang sama,” kata kenyataan itu.

Jika pemimpin BN dan UMNO menolak langkah tersebut, usul pengisytiharan harta itu akan dibawa ke Dewan Rakyat dan Dewan Negara dalam persidangan akan datang.

Kenyataan bersama PH Perak itu ditandatangani oleh Pengerusi PKR Negeri Perak Senator Dr Muhammad Manuty, Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming dan Pengerusi Amanah Negeri Perak Haji Asmuni Awi. -Roketkini.com


Tiada ulasan: