Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: Naib Presiden PKR, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin enggan
mengulas lanjut berhubung status pemecatan bekas Ketua Cabang PKR
Rembau, Badrul Hisham Shaharin daripada parti itu.
Beliau sebaliknya berkata sebarang pengesahan status pemecatan itu wajar dirujuk kepada Setiausaha Agungnya, Rafizi Ramli.
"Hal Chegubard kena tanya Rafizi.
"Semua hal surat-menyurat secara rasminya tugas Setiausaha Agung," katanya ringkas semasa dihubungi Antarapos, hari ini.
Shaharuddin juga enggan memberi respon apabila diajukan soal pemalsuan
tandatangan Rafizi dalam surat pemecatan Badrul, baru-baru ini.
Terdahulu, Badrul atau Chegubard membidas Rafizi dan melabelnya sebagai
bacul ekoran mengambil pendekatan membisu meskipun mengetahui
tandatangannya dipalsukan.
Kekeliruan berhubung status keanggotaan Chegubard di dalam parti
bermula apabila Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) itu
menerima surat pemecatan menerusi emel pada pagi 26 Ogos lalu.
Menurut surat bertarikh 26 Ogos itu, mesyuarat Jawatankuasa Lembaga
Disiplin yang bersidang pada 4 Ogos lalu membuat keputusan untuk memecat
Chegubard atas dakwaan menjejaskan imej dan memecahbelahkan parti
seterusnya ingkar dengan arahan parti.
Tindakan pemecatan itu diambil sejajar dengan peruntukan di bawah Fasal 41.7 Perlembagaan Parti.
Pemecatan itu dikaitkan dengan tindakan Chegubard sebelum ini yang giat
mendedahkan dakwaan salah laku Menteri Besar Selangor yang juga
Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali, berhubung kontroversi
penukaran status tanah di Lot 68054 yang dikatakan milik Paya Indah
Wetlands.
Kekeliruan kemudiannya timbul apabila Ketua Penerangan PKR, Syed
Ibrahim Syed Noh menafikan parti itu sudahpun memecat Chegubard dan
menjelaskan parti itu kini masih menunggu keputusan penuh Majlis
Pimpinan Pusat (MPP) PKR berhubung tindakan lanjut ke atas beliau.
Kelmarin Chegubard memberitahu dihubungi seorang pemimpin kanan parti
memberitahu surat itu dikeluarkan tanpa pengetahuan Rafizi dan tanda
tangan setiausaha agung yang terpapar di surat berkenaan adalah palsu.
Ujar Chegubard, surat berkenaan dikeluarkan di bawah arahan seorang pemimpin PKR, R Sivarasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan