Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Bekas ketua cabang PKR Rembau, Badrul Hisham Shaharin hari
ini membidas Setiausaha Agung parti itu, Rafizi Ramli kerana membisu
berhubung pemalsuan tandatangannya di dalam surat pemecatan beliau.
Badrul atau Chegubard mendakwa, tindakan Ahli Parlimen Pandan itu yang
berdiam diri meskipun mengetahui tandatangannya dipalsukan,
memperlihatkan sifatnya sebagai pemimpin yang bacul.
"Orang politik tetap orang politik. YB Rafizi ini tahu yang
tandatangannya dipalsukan, tetapi sehingga ke hari ini beliau senyap.
"Saya cuma mahu melihat sejauh mana telatah orang politik, sejauh mana
kamu mahu menipu rakyat konon kamu hero dengan musuh kamu, tapi dalam
hal dalam kelambu (dalam parti), kamu sangat bacul dan penakut serta
tidak berprinsip sama sekali.
"Ini soal parti, kredibiliti dan soal mempertahankan prinsip dalam parti," katanya ketika dihubungi Antarapos.
Kekeliruan berhubung status keanggotaan Chegubard di dalam parti
bermula apabila Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) itu
menerima surat pemecatan menerusi emel pada pagi 26 Ogos lalu.
Menurut surat bertarikh 26 Ogos itu, mesyuarat Jawatankuasa Lembaga
Disiplin yang bersidang pada 4 Ogos lalu membuat keputusan untuk memecat
Chegubard atas dakwaan menjejaskan imej dan memecahbelahkan parti
seterusnya ingkar dengan arahan parti.
Menurut surat yang ditandatangani Rafizi itu juga, tindakan pemecatan
itu diambil sejajar dengan peruntukan di bawah Fasal 41.7 Perlembagaan
Parti.
Pemecatan itu dikaitkan dengan tindakan Chegubard sebelum ini yang giat
mendedahkan dakwaan salah laku Menteri Besar Selangor yang juga
Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali, berhubung kontroversi
penukaran status tanah di Lot 68054 yang dikatakan milik Paya Indah
Wetlands.
Bagaimanapun, Ketua Penerangan PKR, Syed Ibrahim Syed Noh menafikan
parti itu sudahpun memecat Chegubard dan menjelaskan parti itu kini
masih menunggu keputusan penuh Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR berhubung
tindakan lanjut ke atas beliau.
Semalam Chegubard yang dipetik sebuah portal berkata, beliau dihubungi
seorang pemimpin kanan parti memberitahu surat itu dikeluarkan tanpa
pengetahuan Rafizi dan tanda tangan setiausaha agung yang terpapar di
surat berkenaan adalah palsu.
Ujar Chegubard, surat berkenaan dikeluarkan di bawah arahan seorang pemimpin PKR, R Sivarasa.
Mengulas berhubung kekeliruan berkenaan, Chegubard turut menempelak PKR yang disifatkannya tidak sepakat.
"Keputusan tak dicapai melalui mesyuarat, keputusan dibuat menerusi
perbincangan dalam Whatsapp, dan ia tidak mendapat dua pertiga
sebagaimana yang dikehendaki oleh Perlembagaan Parti," katanya.
Malah tambah aktivis itu lagi, beliau hanya mahu 'tunggu dan lihat'
kerana ujarnya 'rakyat sedang memerhati' bagaimana parti pimpinan Datuk
Seri Dr Wan Aziziah Wan Ismail itu mengendalikan isu berkenaan.
"Saya tak ambil pertimbangan dan saya tak ambil pusing mengenai perkara
itu. Namun fokus saya, terpulang kepada parti, sekarang orang lihat
kamu.
"Keduanya saya akan terus mendesak SPRM untuk ambil tindakan (berhubung
isu Wetlands) kerana (Datuk Seri) Azmin ini talam dua muka," ujarnya
lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan