MALAYSIAKINI
Vokalis kumpulan Spring, Ameng, pasrah menghadapi kerugian bernilai
RM15,000 yang sepatutnya diterima sebagai imbuhan membuat persembahan.
Walaupun jumlah itu agak banyak, Ameng juga mengambil sikap
'menghalalkan' wang berkenaan walaupun penganjur program yang
disertainya tidak meminta maaf kerana memberikan cek tendang kepadanya.
Ujian itu dihadapi Ameng, 48, tidak lama selepas dia bebas daripada
tahanan penjara dan bergelut untuk memulakan hidup baru bersama isteri
dan anak mereka.
“Kejadian itu membabitkan persembahan makan malam dan sambutan hari raya di Kuantan untuk sebuah majlis korporat.
“Lebih menyedihkan penganjur terbabit datang membuat perjanjian ketika saya masih dalam penjara.
“Perkara ini amat menjejaskan emosi terutama di saat saya amat
memerlukan duit ketika itu kerana baru hendak memulakan hidup,” katanya
yang ditemui pada sidang media pengumuman Konsert 3 Suara di Istana
Budaya semalam.
Ameng atau nama asalnya Wan Aminuddin Wan Ismail dibebaskan dari
Penjara Kluang pada 14 Jun lalu selepas menjalani hukuman selama lima
tahun empat bulan atas tiga kesalahan termasuk dua kes memiliki dadah.
Penyanyi Bourgenvilla itu pada awalnya dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Melaka pada 12 April 2011.
Bagaimanapun, hukuman itu dikurangkan ekoran kelakuan dan disiplin cemerlang ditunjukkannya dalam tempoh tahanan.
Hilang duit diganti pahala
Hasil perkongsian hidup Ameng bersama pasangan kedua Sabariah
Zakaria, 46, mereka dikurniakan anak Wan Ammar Haikal yang kini berusia
sembilan tahun.
Di kehidupan sebelum itu, Ameng pernah berkahwin - dan bercerai dengan penerbit drama Datuk A Aida. Mereka memiliki dua anak perempuan Wan Az Aleesa dan Wan Azevanatassha.
Menurut Ameng, dia sanggup menerima tawaran berkenaan kerana
berasakan ia adalah peluang terbaik untuk membina semula kehidupan yang
pernah musnah disebabkan dadah.
“Menjadi banduan ibarat orang hampir mati kelemasan. Seseorang itu
akan berpaut pada apa saja walaupun pada sehelai daun yang diibaratkan
sebagai kayu di atas air.
“Begitulah diri saya ketika itu, datang saja satu tawaran tanpa usul periksa ia terus diterima,” katanya.
Biarpun tanpa memberi sebarang alasan kukuh mengenai wang terbabit
yang masih hingga kini belum dilunaskan pembayarannya, Ameng mengakui
sudah "malas" untuk meminta-minta lagi.
Pada masa sama, Ameng tidak pula terdetik di hati untuk membuat aduan
kepada pihak berkuasa memandangkan jumlah wang ditipu bukan sedikit.
Alasannya, Ameng berasa kasihan melihat penganjur yang sudah berkeluarga.
“Biarlah hal yang menimpa itu menjadi urusan antara dia dan Allah, lagi pula saya simpati melihat keluarganya.
“Saya mahu mengambil positif daripada kejadian menimpa malah menganggapnya ada kebaikan mahu ditunjukkan Allah.
“Saya berhasrat mahu melupakan hal terbabit, mungkin Allah hilangkan
duit kita tetapi sebenarnya Dia mahu memberikan pahala,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan