Isnin, 29 Ogos 2016

Mansuh diskaun Bumiputera pastikan harga berpatutan untuk semua’

 
Chang menggesa kerajaan negeri Selangor memastikan tiada pemaju perumahan mengambil kesempatan untuk meningkatkan keuntungan mereka pada margin sama.


Chang-Kim-Loong


PETALING JAYA: Pemansuhan diskaun 10% untuk Bumiputera membeli tiga jenis hartanah mampu milik di Selangor akan memastikan rakyat berbilang kaum yang memerlukan rumah boleh menikmati harga berpatutan.

Setiausaha Agung Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA), Chang Kim Loong mengalu-alukan langkah kerajaan Selangor memansuhkan potongan harga 10% untuk pangsapuri perkhidmatan, Soho dan Sovo di negeri itu.

Beliau berkata, langkah itu akan memastikan tiada rakyat ketinggalan dalam membeli rumah mampu milik dan harga RM230,000 hingga RM270,000 ditetapkan untuk Soho dan Sovo di negeri itu berpatutan.

“Apabila peratusan tertentu unit rumah dijual pada harga diskaun, harga untuk baki hartanah perlu dinaikkan bagi memastikan unjuran keuntungan mencapai sasarannya.

“Pemaju hartanah adalah entiti berorientasikan keuntungan, bukannya untuk kerja-kerja amal,” katanya kepada FMT hari ini.

Chang berkata, adalah tidak bermakna untuk memberi diskaun kepada satu kaum tertentu dengan mengorbankan orang lain, apabila semua pembeli mempunyai kriteria pendapatan isi rumah yang sama.

Beliau berkata, HBA membantah tindakan memihak kepada mana-mana kaum dalam skim perumahan mampu milik, rumah kos rendah, sederhana rendah dan sederhana.

“Sesiapa sahaja yang layak perlu mendapatkan sebuah rumah, jika kedudukan kewangannya mengizinkan,” katanya.

Chang turut menggesa kerajaan negeri Selangor memastikan tiada pemaju perumahan mengambil kesempatan untuk meningkatkan keuntungan mereka pada margin sama.

Beliau berkata, sektor hartanah sudah lama dianggap sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi dan ia tidak patut dihalang dasar ketinggalan zaman seperti diskaun Bumiputera.

Nanyang Siang Pau memetik Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan Pengangkutan Selangor, Datuk Teng Chang Kim berkata, diskaun itu akan dibatalkan menerusi pelaksanaan garis panduan pembangunan perumahan baharu mulai Khamis ini.

Exco Selangor itu berkata, di bawah garis panduan perumahan mampu milik, harga tertinggi untuk pangsapuri perkhidmatan ialah RM270,000 manakala Soho dan Sovo pula berharga RM230,000 setiap unit.

Tiada ulasan: