Ahad, 28 Ogos 2016

Wang hilang akibat skandal 1MDB boleh biaya mahasiswa 15 tahun

MALAYSIA DATELINE
 
 
Perhimpunan TangkapMO1. Foto Malaysia Dateline oleh Wan Zahari SallehPerhimpunan TangkapMO1. Foto Malaysia Dateline oleh Wan Zahari Salleh


Jumlah wang yang diselewengkan akibat skandal 1MDB boleh digunakan untuk menampung perbelanjaan mahasiswa untuk sekurang-kurangnya 15 tahun.

Ketua Sosialis Muda DAP (DAPSY), Wong Kah Woh ketika berucap di perkarangan Masjid Negara sebelum berarak ke Dataran Merdeka semalam berkata, dana yang didakwa dicuri itu sepatutnya disalurkan kepada mahasiswa yang memerlukan dana untuk melanjutkan pelajaran.

“Tapi sebaliknya pula yang berlaku, pinjaman PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara) pula tidak diberikan sepenuhnya,” kata Adun Canning itu.

Roketkini melaporkan dalam perhimpunan di ibu kota itu, sekitar 3,000 individu dari pelbagai latar kaum, agama dan peringkat usia hari ini berarak ke Dataran Merdeka bagi menuntut supaya individu yang dikaitkan dengan penyelewengan dana awam 1MDB diberkas.

Perhimpunan #TangkapMO1 itu bersurai secara aman petang tadi setelah dikendalikan sejak tengah hari tadi sepenuhnya oleh sekumpulan mahasiswa. Ia turut disertai dan disokong oleh penggiat seni tempatan, aktivis dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pemimpin parti politik.

Sasterawan Negara yang juga anggota DAP, Pak A. Samad Said pula berkata, beliau ‘merestui’ perhimpunan yang diadakan itu.

“Apa yang saya banga, buat kali pertama, sesudah beberapa dekad (yang lepas), mahasiswa bangun,” katanya.

MO1 atau Malaysia Official 1 yang disebut sebanyak 36 kali dalam saman sivil Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat lebih satu bulan lalu bagi menyita aset bernilai US$1 bilion yang didakwa dicuri daripada IMDB itu dipercayai ramai pihak sebagai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ekoran pendedahan itu, perhimpunan petang tadi menuntut supaya Perdana Menteri mendedahkan identiti MO1, sekaligus menafikan tuduhan pelbagai pihak terhadap beliau.

Perhimpunan berakhir setelah jurucakap Gabungan Tangkap MO1, Anis Syafiqah melakukan gimik meletakkan patung MO1 ke dalam sebuah sangkar.

Patung yang kelihatan seakan-akan Perdana Menteri itu turut dipamerkan bersama patung-patung mirip Jho Low, anak tiri Najib Riza Aziz dan ibunya Datin Seri Rosmah Mansor

Tiada ulasan: