Rabu, 31 Ogos 2016

Harussani petik hadis ‘daif’ cemar imej Islam, kata Wan Ji

 
Katanya mufti Perak perlu lebih cermat sebelum memetik sesuatu hadis supaya tidak mencemar imej Islam


wan-ji


PETALING JAYA: Hadis yang dirujuk Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria ketika mempertahankan hak suami dalam hubungan seks, sehingga mengundang sindiran beberapa pertubuhan wanita baru-baru ini, merupakan sebuah hadis daif (lemah), kata pendakwah Wan Ji Wan Hussin.

Beliau mengulas hujah Harussani tahun lalu yang menolak istilah rogol dalam perkahwinan, dengan berpandukan sebuah hadis di mana Nabi Muhammad bersabda sekiranya suami isteri sedang menunggang unta dan si suami meminta isteri melakukan hubungan seks, dia mesti melakukannya.

Bagaimanapun, Wan Ji berkata hadis tersebut tergolong sebagai “daif”, iaitu kategori paling lemah dalam menilai kualiti sesebuah hadis, disebabkan “sanad”, atau rangkaian perawi, yang lemah.

“Dalam sanad hadis ini, ada pencerita hadis bernama Husain bin Qais. Ulama hadis seperti Ibn Hajar dan Al-Bukhari tidak menerima hadis yang diriwayatkan dari pencerita hadis bernama Husain bin Qais,” katanya kepada FMT, merujuk dua sarjana hadis terkemuka.

Di bawah Ulum Hadis yang menilai kesahihan sesuatu hadis, terdapat 3 kategori hadis iaitu Sahih, Hassan, dan Daif. Kategori daif bermakna hadis tersebut lemah dari segi rangkaian perawinya dan oleh itu tidak boleh dijadikan sebagai amalan atau dalil Syariah, kecuali untuk perkara kecil yang tidak menyentuh soal syarak atau aqidah.

Ahad lalu, Harussani dinamakan “pemenang” kategori “hina intelek” pada anugerah “Aiyo Wat Lah” yang dianjurkan setiap tahun oleh Kumpulan Bertindak Bersama bagi Kesaksamaan Gender (JAG) dan Inisiatif Kesaksamaan Gender (GEI).

Anugerah bersifat sindiran itu dianjurkan bagi memastikan pegawai awam bertanggungjawab ke atas kenyataan atau tindakan mereka, dan “pemenang” kerap dinamakan atas kenyataan seksis atau tidak masuk akal.

Harussani dalam responnya menganggap tindakan itu satu penghinaan dan mempertahankan kenyataannya yang Islam tidak mengiktiraf istilah “rogol dalam perkahwinan”.

Walaupun tidak bersetuju Harussani dinamakan penganjur anugerah itu, Wan Ji berkata mufti Perak itu sepatutnya cermat menyatakan sesuatu hadis agar tidak memberikan gambaran buruk masyarakat terhadap Islam.

“Sebagai manusia, Harussani tidak wajar dihina atas kesalahannya.,” kata Wan Ji.

“Namun, disebabkan tindakan mufti sendiri yang tidak cermat, agak sukar untuk menolak daripada terjadinya anugerah Ayoh Wat Lah itu.

“Jika mufti lebih cermat sejak dari awal, sudah pasti anugerah sebegini tidak akan berlaku.”

Sebelum ini, PAS dan Perkasa mengutuk penganjur “Aiyoh Wat Lah” sebagai biadap dan menuntut mereka memohon maaf kepada Harussani, di samping Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang turut dinamakan pemenang anugerah itu.

Tiada ulasan: