Ahad, 28 Ogos 2016

Taktik samun kembar seiras pakai jubah, purdah gagal

Astro Awani
Taktik samun kembar seiras pakai jubah, purdah gagal
Berikut adalah alat yang digunakan ketika cubaan menyamun di Kemaman, Terengganu. - Gambar Astro AWANI
 
 
KEMAMAN: Berpurdah dan berjubah wanita.

Itu modus operandi sepasang kembar lelaki seiras bagi merompak dua kedai emas di Kemaman, Terengganu.

Bagaimanapun, taktik licik itu gagal dan terbongkar selepas kenderaan dinaiki kedua-dua suspek terbabit dalam satu kemalangan dekat Teluk Kalong, di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Wan Abdul Aziz Wan Hamzah memaklumkan kedua-dua suspek terlibat kemalangan selepas melakukan cubaan rompakan di dua kedai emas dekat Dungun pada 20 dan 25 Ogos lalu.

Hasil maklumat awam, polis berjaya mengesan kereta terbabit kira-kira jam 4 petang di Bukit Kuang selepas kereta yang dinaiki suspek terlibat dalam kemalangan dan terbalik berhampiran persimpangan lampu isyarat Kampung Teluk Kalong di sini.

Wan Abd Aziz berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan kedua beradik ini terlibat dalam hutang along dan melakukan kegiatan ini bagi melunaskan hutang.

"Daripada siasatan, kita dapati mereka ini baru pulang dari Australia dan baru menggunakan taktik ini. Dipercayai mereka terlibat dalam hutang ah long dan untuk melangsaikan hutang-hutang itu dan mereka bertindak untuk melakukan samunlah, kedai emas khususnya dan rekod yang lampau kita dapati mereka tiada rekod,” kata Wan Abd Aziz.

Pemeriksaan terhadap kenderaan dinaiki suspek turut menemui pelbagai peralatan bagi tujuan merompak antaranya termasuk tukul besi, rambut palsu, pistol tiruan, kuku besi, pisau dan kad pengenalan palsu.
Kedua-dua suspek berusia 26 tahun ditahan reman sehingga Selasa bagi siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata Api 1960, Seksyen 393 kerana cubaan samun dan Seksyen 25 (1)(e) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana kesalahan menggunakan kad pengenalan palsu. 
 
 

Tiada ulasan: