Rabu, 24 Ogos 2016

DAP pelawa Ku Nan lihat sendiri kebaikan tender terbuka

Ng-Tien-Chee-03

Roketkini.com


KAJANG: Kerajaan akan mengalami kerugian yang lebih besar jika lantikan kontraktor dijalankan secara rundingan terus dan bukan tender terbuka, memandangkan ia akan mendorong pihak tertentu memberi kontrak kepada kroni masing-masing.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Balakong, Eddie Ng Tien Chee berkata, tender terbuka pula sebaliknya adalah sistem lantikan kontraktor yang lebih telus dan terbuka bagi mengelakkan penyelewengan, malah, masalah dapat dielakkan jika prosedur yang betul dapat diambil.

Beliau membidas kenyataan Menteri WIlayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor baru-baru ini bahawa amalan tender terbuka akan menyebabkan kerugian kepada kerajaan apabila pembida dengan harga paling rendah dan diberi kontrak, gagal menyiapkan projek.

Malah, Eddie dalam satu kenyataan hari ini mengalu-alukan Tengku Adnan untuk datang ke Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) agar dapat melihat sendiri cara untuk meminimakan serta mengelakkan masalah yang bakal timbul melalui sistem tender terbuka.

“MPKj telah melantik kontraktor melalui tender terbuka pada Februari tahun lalu dengan kos RM1.87 juta untuk membina sebuah dewan orang ramai di Taman Impian Ehsan, namun ia gagal disempurnakan dalam tempoh yang diberikan.

“Namun, MPKj tidak mengalami sebarang kerugian kerana menurut prosedur yang diamalkan, bayaran dibuat secara berperingkat. Sehingga kini, walaupun projek pembinaan itu terbengkalai pada tahap 75 peratus siap dibina, MPKj hanya membayar RM500 ribu kepada kontraktor,” jelasnya.

Menurut Setiausaha Organisasi DAP Selangor itu lagi, MPKj akan menyenaraihitamkan kontraktor tersebut melalui Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Malah, majlis perbandaran itu akan merampas bon kerja bernilai RM53 ribu selain daripada mengenakan penalti lewat sebanyak RM19 ribu ke atas kontraktor berkenaan.

“MPKj kini dalam proses melantik kontraktor baru melalui tender terbuka. Jika terdapat sebarang kos tambahan setelah membuka kembali tender itu, ia akan dikenakan ke atas kontraktor asal yang gagal.

“Ia jelas membuktikan bahawa tidak timbul apa-apa masalah yang besar dengan menggunakan amalan tender terbuka, apalagi membawa kerugian kepada kerajaan seperti yang didakwa Tengku Adnan,” tegasnya. – Roketkini.com


Tiada ulasan: