Isnin, 29 Ogos 2016

Beli unit Soho di Selangor tiada lagi diskaun Bumiputera

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
PETALING JAYA: Bumiputera yang membeli pangsapuri perkhidmatan, Soho dan Sovo di Selangor tidak akan menikmati potongan harga 10% lagi, susulan pelaksanaan garis panduan pembangunan perumahan baru oleh kerajaan negeri itu mulai Khamis ini.
 
Exco Selangor, Datuk Teng Chang Khim yang dipetik Nanyang Siang Pau berkata, kuota 30% peruntukan rumah untuk Bumiputera akan dikekalkan.
 
Pada masa sama, katanya, kelulusan untuk membina pangsapuri perkhidmatan, Soho dan Sovo yang dibekukan sejak 1 Januari lalu dibatalkan, tetapi harga bagi tiga jenis hartanah itu akan ditetapkan kerajaan negeri.
 
“Di bawah garis panduan perumahan mampu milik, harga tertinggi untuk pangsapuri perkhidmatan ialah RM270,000 di kawasan A, manakala RM250,000 untuk kawasan B.
 
“Soho dan Sovo pula berharga RM230,000 setiap unit. Perumahan mampu milik ini terbuka kepada golongan berpendapatan rendah tanpa mengira kaum,” katanya kepada akhbar berbahasa Cina itu.
 
Beliau berkata, pendapatan isi rumah pemohon juga dinaikkan daripada RM8,000 sebelum ini kepada tidak lebih RM15,000.
 
“Bagaimanapun, pembeli dengan pendapatan isi rumah kurang daripada RM10,000 akan didahulukan. Jika mereka gagal mendapatkan pinjaman, baru ia akan dibuka kepada keluarga berpendapatan lebih RM10,000,” katanya.
 
Beliau berkata, butiran lanjut mengenai garis panduan pembangunan perumahan baru itu yang diluluskan mesyuarat exco dua minggu lalu akan diumumkan 1 September ini.
 
“Kerajaan Selangor sudah berbincang dengan persatuan pemaju perumahan negeri dan mengkaji cadangan dikemukakan mereka sebelum memperkenalkan garis panduan baru ini.
 
“Kami percaya semua pihak akan berpuas hati dengannya, termasuk kerajaan negeri, pembeli dan pemaju perumahan,” katanya

Tiada ulasan: