Isnin, 29 Ogos 2016

Raja Kamarul: Kenapa agamawan, ulama membisu?

Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad
Raja Kamarul Bahrin Shah


SHAH ALAM – Agamawan dan ulama diminta tidak hanya ‘membisu’ ketika anak muda sudah memulakan langkah menyuarakan keluhan terhadap isu yang melanda negara.

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, ia sepatutnya sebahagian peranan dan tanggungjawab ulama dalam menentang kemungkaran yang berlaku di dalam negara ini.

“Kami dari Amanah menyambut baik semangat keberanian anak muda yang menghadapi pelbagai dugaan pemotongan bantuan murid miskin dari RM200 juta sehingga tinggal hanya RM10 juta sahaja yang diluluskan di Parlimen, pemotongan biasiswa, tuntutan pinjaman PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) dan peningkatan kos sara hidup.

“Ayah dan emak mereka pula dikenakan GST, kenaikan harga minyak serta elektrik dan kejatuhan nilai ringgit yang membebankan tanggungan anak-anak yang belajar di luar negara. Setelah susah payah mendapat ijazah mereka bergelut pula membayar hutang PTPTN dan itu pun kalau bernasib baik mendapat pekerjaan. Itulah nasib yang menimpa anak muda hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Raja Kamarul turut membidas sikap membisu agamawan apabila seorang mufti dikritik kerana cuba bersuara atas isu panas yang melanda negara.

Menurut Raja Kamarul, agamawan dan ulama bukan hanya ‘menutup sebelah mata’ atas isu tersebut malah turut menutup kedua belah mata apabila melihat mufti tersebut dikritik.

“Kalau anak muda telah bersuara, kenapa para agamawan telah ‘bersara’ dari menjalankan tanggungjawab mereka ? Ramai anak muda yang menaruh harapan yang tinggi untuk para ulama menjadi penyelamat Ummah. Ramai yang sayang kepada para ulama dan agamawan yang makin sering mengecewakan rakyat.

“Semua orang yang memegang tugas mesti menjalankan tanggungjawab mereka seperti kami bersuara di Parlimen. Ahli politik pembangkang telah bersuara, anak muda telah bersuara... bagaimana yang belum bersuara?,” soalnya.


Tiada ulasan: