Ahad, 28 Ogos 2016

Bekalan bahan keperluan untuk Aidiladha cukup - Tajuddin

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
GEORGETOWN: Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman memberi jaminan bahawa bekalan bahan keperluan mencukupi menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha bulan depan.
 
Setiap kali musim perayaan, ujarnya, pihak kementerian akan memantau bekalan bahan mentah bagi memastikan ia mencukupi untuk memenuhi permintaan yang tinggi. 
 
"Kita mempunyai stok barangan keperluan tempatan yang mencukupi dan sekiranya ada keperluan, kami akan mengimport bagi memastikan umat Islam dapat menyambut ibadah korban ini dengan sempurna," katanya kepada pemberita. 
 
Beliau sebelum itu merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Puteri dan Pemuda Umno bahagian Bayan Baru di sini malam tadi. 
 
Katanya, pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berkemungkinan akan melaksanakan pemantauan menyeluruh di seluruh negara bagi memastikan harga barangan keperluan tidak dinaikkan sesuka hati. 
 
Umat Islam di seluruh negara dijangka menyambut Hari Raya Aidiladha pada 12 September, yang kebetulan jatuh pada minggu cuti persekolahan yang bermula dari 10 hingga 18 September. 


Tiada ulasan: