Ahad, 28 Ogos 2016

Tindakan jiran gagalkan tiga penjenayah pecah masuk rumah pekebun

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
JERANTUT: Tindakan pantas seorang lelaki menghubu­ngi jirannya selepas menyedari sesuatu yang mencurigakan berlaku di rumah jirannya itu membawa kepada penahanan dua penjenayah di Taman Teratai di sini semalam.
 
Hasil maklumat lelaki ber­kenaan, dua lelaki berusia lingkungan 40-an berjaya dicekup orang ramai ketika cuba melarikan diri selepas memecah masuk rumah seorang pekebun, Tey Kim Kin di perumahan berkenaan manakala seorang lagi rakan mereka melarikan diri.
 
Ketua Polis daerah, Superintenden Azid Ismail berkata, kejadian berlaku ketika Kim Nin berada di kebunnya yang terletak tidak jauh dari taman perumahan tersebut.
 
“Kira-kira pukul 4 petang, seorang jiran Kim Kin menghubungi­nya dan membe­ritahu rumahnya dipecah masuk. Dia bergegas pulang dan mendapati tingkap di bahagian tepi rumahnya diumpil.
 
“Mangsa kemudian ternampak seorang lelaki keluar menerusi tingkap berkenaan dan cuba me­larikan diri bersama dua lagi rakannya dengan sebuah kereta Volkswagen,” katanya di sini hari ini.
 
Menurut Azid, berikutan itu, Kim Kin dan jirannya mengejar suspek sebelum kereta mereka terbabas kira-kira 500 meter dari rumah mangsa.
 
Katanya, orang ramai yang ber­ada di lokasi kejadian menahan dua suspek manakala seorang lagi melarikan diri dan usaha memburunya sedang giat dijalankan.
 
Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Ke­seksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 14 tahun jika sabit kesalahan.
 
“Siasatan mendapati kereta Volkswagen yang dinaiki suspek merupakan kenderaan yang dilaporkan hilang di Kempas, Johor baru-baru ini.
 
“Orang ramai yang mempu­nyai maklumat berhubung kes ini diminta menghubungi polis bagi membantu siasatan,” katanya.
 
 

Tiada ulasan: