Rabu, 31 Ogos 2016

Merdekakan sambutan kita daripada konsert karut

 
Sudah-sudahlah penganjuran konsert ambang merdeka yang impaknya entah kan ada entah kan tidak.
 
 
 
merdeka


Seminggu dua lepas, saya menonton teater Mencari Sumaiyah yang dipentaskan di Istana Budaya sempena 15 tahun penubuhan Puteri Umno.

Di permulaan persembahan, dinyatakan metafora yang berbunyi lebih kurang seperti ini: “kita umpama benang, berbeza warna tapi ditenun bersama untuk dijadikan kain”.

Kain yang dihasilkan gabungan benang itu menggambarkan perpaduan masyarakat majmuk dalam negara ini.

Hari ini, hari kemerdekaan Malaysia ke-59, maka berdentam dentum, di sana sini orang bercakap mengenai perpaduan negara ini yang rakyatnya berbilang kaum dan suka atau tidak, kita sentiasa berdepan isu perpaduan.

Maka, menjadi terlalu klise untuk bercakap mengenai perpaduan sempena Hari Kebangsaan. Klise, terlalu klise. Isu perpaduan itu, klise.

Jadi, saya memilih untuk menulis tentang cara sambutan hari kemerdekaan rakyat Malaysia. Enggan menyentuh isu perpaduan menerusi artikel ini, saya ingin berkongsi idea bagaimana sambutan hari merdeka sepatutnya diadakan.

Sudah-sudahlah penganjuran konsert ambang merdeka atau forum perdana yang impaknya entah kan ada entah kan tidak. Apa kata bermula tahun depan, tidak perlu lagi konsert yang hanya menganjurkan pesta maksiat dan hedonisme semata-mata.

Tak ada kesan apa pun dan sebenarnya konsert seperti itu tidak ada kena mengena langsung dengan kemerdekaan. Merdeka apa ya, sekadar menyanyi sikit-sikit lagu yang kononnya patriotik, mungkin bersajak serba sederhana dan kemudian diakhiri pertunjukan bunga api dengan laungan Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Saya cadangkan, rakyat Malaysia terutama generasi pasca kemerdekaan ditunjukkan bagaimana proses kemerdekaan berlaku. Tunjukkan pada mereka rentetan kisah demi kisah apa sebenarnya kejadian dalam negara ketika berada dalam cengkaman penjajahan.

Maksudnya begini, sambutan hari merdeka di negara ini sewajarnya disambut dalam satu bentuk lakonan. Negara ini jadi pentas besarnya dan rakyat jadi pelakon. Orang Malaysia kan ramai yang pandai berlakon, daripada peringkat atasan hinggalah golongan marhaen, bakat berlakon seolah-olah ada dalam darah masing-masing.

Sila jangan keliru. Lakonan yang saya maksudkan di sini ialah, kenakan perintah berkurung di rumah (pada masa tertentu, pastinya), ala-ala zaman darurat. Dua, tiga hari sebelum 31 Ogos, turunkan lebih ramai askar dan polis berkawal di pusat bandar. Arahkan mereka membuat pemeriksaan kad pengenalan dalam pengangkutan awam – sama seperti yang pernah berlaku pada zaman tok nenek kita dulu, ketika Tanah Melayu dicemari askar Jepun.

Dalam tempoh itu, mungkin boleh diselitkanlah dengan flash mob di pusat bandar dengan gambaran seperti negara yang sedang dirundung sedih kerana dijarah orang jahat.

Pada masa sama, tayangkan semula klip-klip video zaman dulu kala tentang kekacauan di negara ini menerusi siaran TV. Dan jangan lupa rakaman ucapan para pejuang kemerdekaan juga perlu ditunjukkan untuk dijadikan pengukuhan, dengan harapan rakyat Malaysia, terutama golongan muda tahu menghargai hasil tuaian nilai merdeka yang dinikmati sekarang.

Pastikan juga rakaman video berkenaan ditayangkan berulang kali, beberapa hari sebelum menjelang merdeka supaya ia menggerakkan hati rakyat. Biar sampai muak orang menontonnya, asalkan ia terkesan di jiwa mereka.

Pendapat saya, rasionalnya idea saya ialah perlu diwujudkan rasa bimbang dan gusar dalam kalangan masyarakat, cetuskan di benak mereka satu persoalan; bagaimana agaknya jika Tanah Melayu tidak pernah merdeka.

Cuba anda fikir, fitrah manusia ialah kita sukar menghargai sesuatu yang kita ada sehinggalah ia diambil pergi daripada kita. Begitu juga kemerdekaan. Generasi muda lahir ke tanah bertuah ini dengan status bebas, bukan hamba yang terantai pada sesiapa.

Maka, logiknya mampukah mereka menghargai kebebasan itu, sedangkan mereka tidak pernah tahu bagaimana rasa kehilangan ‘merdeka’ dalam hidup masing-masing.

Jadi, mereka perlu dikejutkan dengan cara yang keras supaya belajar mensyukuri kemerdekaan dan nilai kebebasan yang diwarisi hasil kerja keras rakyat Malaysia terdahulu.

Pastinya ramai yang tidak tahu kesungguhan rakyat terdahulu yang sanggup berkorban harta, menyerahkan emas permata supaya almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj dapat ke London mendesak untuk mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu.

Dan pastinya ramai yang tidak dapat membayangkan apa rasanya jerih berteman air mata, hati bersawang kebimbangan tak boleh tidur dan malam terasa amat panjang kerana takut dibunuh penjajah. Betul, kan?

Saya faham cadangan saya terlalu idealistik. Pasti sukar direalisasikan dan terdedah kepada ruang perdebatan.

Walau apa pun, saya tetap berpegang kepada cadangan; hentikan konsert mengarut di ambang merdeka kerana ia hanya menguntungkan golongan kapitalis.

Sedangkan anak muda kita terus alpa, tak tahu apa itu merdeka, malah tidak pernah peduli apa yang tercatat dalam sejarah. Yang mereka tahu hanya terkinja-kinja di ‘Dataran Merdeka’.

Semoga Tuhan merahmati bumi Malaysia. Selamat Hari Kebangsaan ke-59 dan tolonglah fahami yang hari ini membawa maksud besar pada negara, bukan sekadar cuti umum semata-mata.

Tiada ulasan: