Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham
Shaharin hari ini mengesahkan pemecatan dirinya daripada PKR.
Badrul atau lebih dikenali sebagai Chegubard mengesahkan perkara berkenaan dalam laman Facebook beliau sebentar tadi.
Menurut Chegubard, surat pemecatan tersebut diterima beliau menerusi
emel pada pagi ini, dan mendakwa tindakan pemecatan itu diambil selepas
beliau enggan menerima 'pujukan' pihak tertentu.
Dipercayai 'pujukan' tersebut berkemungkinan bagi mendesak Chegubard
membatalkan hasratnya membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan
rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan status ubah tanah di Paya Indah
Wetlands pada petang ini.
"Dapat email pagi ini setelah semalam menolak pujukan terakhir. 3.00 petang ini di SPRM," tulis beliau.
Chegubard dalam pada itu turut memuat naik surat pemecatan keanggotaan
yang diterima beliau daripada ibu pejabat parti itu di laman Facebook
beliau.
Menurut surat yang bertarikh pada hari ini (26 Ogos), mesyuarat
Jawatankuasa Lembaga Disiplin yang bersidang pada 4 Ogos lalu membuat
keputusan untuk memecat Chegubard atas dakwaan menjejaskan imej dan
memecahbelahkan parti seterusnya ingkar dengan arahan parti.
Menurut surat yang ditandatangani Setiausaha Agung parti, Rafizi Ramli
itu juga, tindakan pemecatan itu diambil sejajar dengan peruntukan di
bawah Fasal 41.7 Perlembagaan Parti .
Ia juga menyebut bahawa dengan pemecatan tersebut, maka secara langsung
Chegubard dilucutkan segala jawatan yang dipegang atas nama parti dan
tidak dibenarkan menjalankan atau membuat apa-apa aktiviti, serta
membuat apa-apa kenyataan atas nama parti.
Bagaimanapun, rayuan boleh dikemukakan kepada Majlis Pimpinan Pusat
(MPP) untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis.
Chegubard beberapa hari lalu mendakwa PKR gagal memecat keahliannya berikutan gagal mendapat sokongan undi dua pertiga.
Dakwa beliau, kegagalan tersebut menyebabkan MPP PKR menolak usul itu serta-merta, sekaligus mengekalkan keahliannya.
Beliau mendakwa kononnya ada usaha menggunakan Fasal Pekeliling MPP menerusi Fasal 41.7 bagi tujuan memecatnya.
Bukan itu sahaja Chegubard juga mendakwa usaha tersebut didalangi
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang cuba
mempengaruhi anggota MPP untuk menyokong usul itu dengan menggunakan
Pekeliling Resolusi MPP.
Chegubard sebelum ini mengugut akan membuat laporan kepada SPRM
mengenai salah laku Azmin, berhubung kontroversi penukaran status tanah
di Lot 68054 Paya Indah Wetlands, Selangor.
Chegubard mendakwa kerajaan negeri pimpinan Azmin memulakan usaha
pelengkungan semula Paya Indah Wetlands di lot 68054 Mukim Tanjong Dua
Belas Kuala Langat.
Laporan itu akan difailkan beliau di pejabat SPRM Putrajaya pada jam 3.00 petang ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan