Kebangkitan mahasiswa dan anak muda dalam menyelamatkan Malaysia daripada rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dana negara harus disambut oleh seluruh lapisan masyarakat.
Ketua penaja Wanita Muda Amanah Nasional Anis Afida Mohd Azli berkata, himpunan #TangkapMO1 semalam adalah satu tindakan paling patriotik dalam menzahirkan kecintaan kepada negara, bertepatan dengan sambutan bulan kemerdekaan tahun ini.
Beliau juga berkata, kelantangan suara anak muda di Dataran Merdeka semalam melegakan hati seluruh rakyat kerana masa depan negara cerah dengan kewujudan mereka yang berani bangkit mempertahankan kedaulatan negara.
“Pengorbanan masa dan tenaga kalian serta sanggup berhadapan risiko yang sangat besar dalam menganjurkan himpunan dan siri-siri jelajah seluruh negara menyentuh hati kami.
“Negara perlukan lebih ramai anak muda seperti kalian yang peka dan cakna dengan keadaan semasa negara,” katanya sambil mengucapkan tahniah kepada mahasiswa dan anak muda khususnya pengerusi Gabungan #TangkapMOI, Anis Syafiqah Md Yusof.
Justeru Anis berkata, Wanita Muda Amanah komited untuk terus menyokong usaha mereka dan pihak-pihak lain dalam meneruskan siri-siri kesedaran dan kefahaman kepada rakyat agar lebih ramai celik dan berani demi keharmonian negara.
“Ketidakstabilan keadaan politik negara ditambah skandal penyelewengan 1MDB terus menyebabkan rakyat tersepit dan sengsara.
“Setiap hari kita melihat kisah duka rakyat yang terkesan dengan kepincangan pentadbiran kerajaan di bawah pemimpin Barisan Nasional,” katanya.
Himpunan semalam berlangsung dengan aman dengan kehadiran lebih 2,000 orang terdiri daripada mahasiswa, aktivis-aktivis dariapda NGO-NGO dan parti-parti politik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan