Selasa, 2 Ogos 2016

Batal PRN P.Pinang keputusan terbaik - PAS

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KOTA BHARU: Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Ahmad Yakob menyambut baik keputusan DAP untuk tidak mengadakan pilihan raya negeri (PRN) di Pulau Pinang.
 
Beliau berkata keputusan untuk mengadakan PRN bukan perkara mudah yang boleh dibuat tanpa penilaian yang sewajarnya.
 
"Itulah kita dalam hal ini jangan terburu-buru kerana PRN bukan satu perkara yang boleh kita buat untuk sesuatu tujuan tertentu.
 
"Lagi pun PRN memerlukan bajet yang besar dan boleh dikatakan akan menyusahkan rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Hadis Nabawi 2016 peringkat kebangsaan di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra di Kota Bharu, semalam.
 
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pada Ahad berkata DAP tidak akan meneruskan cadangannya untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang bagi mengadakan pilihan raya mengejut susulan sekutunya PKR tidak bersetuju.
 
PKR pada mesyuarat Majlis Pimpinan Pusatnya (MPP) minggu lalu memutuskan bahawa parti itu belum yakin dengan cadangan DAP berhubung pilihan raya berkenaan. 
 
Mesyuarat MPP tersebut membangkitkan beberapa persoalan dasar berkaitan rasional mengadakan pilihan raya mengejut di negeri berkenaan, termasuk mengambil kira pandangan masyarakat madani (civil society).
 
Sebelum ini, DAP berkeras mahu mengadakan PRN selepas Guan Eng terpalit tuduhan rasuah, apabila cuba menukar status tanah (zon pertanian kepada zon komersil) dan membeli sebuah banglo di bawah harga pasaran di Jalan Pinhorn, George Town.  
 
DUN Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi dengan DAP menguasai 19 kerusi, PKR 10, Barisan Nasional (BN) 10 dan PAS 1.
 
 

Tiada ulasan: