PUTRAJAYA: Tiga aspek penting - mentaliti untuk berjaya, keberanian dan
kesamaan perlu diterapkan di dalam hati dan minda anggota Umno-Barisan
Nasional (BN) bagi memastikan parti itu terus kekal memerintah negara
ini buat selama-lamanya.
Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata ketiga-tiga aspek itu
perlu diberi perhatian bagi menghadapi pelbagai dugaan dan kontroversi
melibatkan nama baik negara mahupun presiden parti Datuk Seri Najib Tun
Razak.
Ujar Khairy, walaupun sokongan terhadap Umno dan BN belum 100 peratus
pulih, beliau menyifatkan keyakinan serta mentaliti untuk berjaya itu
amat penting bagi mendapatkan mandat daripada rakyat pada Pilihan Raya
Umum ke-14 (PRU14).
"Inilah kunci kejayaan kita. Kita perlu ada 'mentaliti untuk berjaya'.
Ada kalanya kita sedang melalui masa sukar tetapi kita perlu ada
keyakinan diri sekiranya mahu menang dalam PRU14.
"Kalau kita sendiri tidak yakin, bagaimanakah orang luar boleh yakin
bahawa Umno mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat," katanya
ketika berucap pada Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan
Puteri Umno Bahagian Putrajaya 2016.
Dalam pada itu, Khairy berkata anggota Umno juga perlu berani ketika
berdepan dengan cabaran beberapa individu yang bukan calang-calang
orangnya keluar parti Umno dan menentangnya secara habis-habisan.
"Ini adalah cabaran langsung, dan kita tidak boleh leka sebaliknya
bangkit untuk berdepan dengan mereka bagi mempertahankan dan meneruskan
perjuangan parti. Tidak kira siapakah mereka, kita mesti berani berdepan
dengan mereka," katanya.
Bagi aspek kesamaan pula, Khairy menekankan warga Umno terus
menunjukkan perpaduan dan sentiasa bersama dengan kepimpinan negara
walapun isu-isu baharu meletup dengan mengetengah agenda tersirat
pihak-pihak tertentu.
"Seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan. Siasatan Jabatan
Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat seolah-olah berbentuk tuduhan tanpa
diiringi bukti dan fakta. Kita berhadapan dengan tahap bias dan prejudis
yang tinggi.
"Inilah masa kita guna akal dan perlu menunjukkan kebersamaan bersama
dan berdiri teguh di belakang Presiden Umno untuk menegakkan kebenaran
dan keadilan," katanya.
Dalam pada itu, Khairy turut menyentuh beberapa strategi dalam
menghadapi PRU14, antaranya mendekati masyarakat bandar agar mereka
tidak terpengaruh dengan sentimen-sentimen negatif yang dibawa pihak
pembangkang.
"Pertarungan hari ini adalah antara servis (perkhidmatan) berlawan sentimen.
"Umno sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk
Putrajaya tetapi ada kalanya, sentimen yang dimainkan oleh pihak lawan
selalunya terpahat dengan mudah di hati dan minda pengundi.
"Kita berdepan gelombang tsunami dari bandar ke luar bandar. Oleh itu,
kita perlu ada corak perang saraf yang lebih cerdik dan canggih bagi
menghadapi perkara-perkara yang kita tidak nampak. Carilah bagaimana
untuk atasi sentimen negatif dalam PRU14," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan