Jumaat, 21 Ogos 2015

Pernah bincang undi tidak percaya dalam Parlimen

Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah
Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah


KUALA TERENGGANU – Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad mengakui, pembangkang pernah membincangkan untuk membuat usul undi tidak percaya dalam Parlimen.

Raja Kamarul Bahrin berkata, perbincangan mengenai perkara itu merupakan usaha yang disifatkan bertujuan menyelamatkan rakyat dan negara.

Menurutnya, kaedah itu dilihat sebagai cara mengembalikan semula keyakinan masyarakat dalam dan luar negara terhadap Malaysia, di kala rakyat dan negara ini berdepan krisis keyakinan agak ketara.

"Ia bukan perkara luar biasa, sekalipun tidak pernah berlaku dalam negara ini kerana ia dibenarkan mengikut undang-undang dan tertakluk dalam akta Parlimen.

"Prosedur ini dibenarkan di negara Komanwel. Ini bukan guling kerajaan. Kalau guling kerajaan, kita guna kekerasan seperti melalui tentera sebagaimana berlaku di Thailand yang guna kuasa luar," katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Pas melalui timbalan presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man melalui laporan Sinar Harian turut menyokong undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak jika usul itu dibentangkan di Parlimen.

Mengulas mengenai 20 ahli parlimen BN yang dikatakan mahu menjatuhkan kepimpinan Najib, Raja Kamarul Bahrin memberitahu, beliau tidak mendapat maklumat mengenai perkara itu, tetapi yakin terdapat perbincangan mengenai usul itu dalam kalangan ahli parlimen BN.

“Tidak semestinya pembangkang sahaja yang setuju undi tidak percaya. Saya rasa ahli parlimen BN juga bimbang dengan apa yang berlaku dan mahu selamatkan negara.

"Saya tidak hairan kalau wujud perbincangan dalam kalangan mereka mengenai usul itu tetapi kita di peringkat pembangkang pernah bincang perkara ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Raja Kamarul Bahrin mengagihkan sumbangan pakaian lelaki dan wanita kepada mangsa-mangsa kebakaran di Kampung Wakaf Mempelam, kelmarin.

Dalam kejadian tersebut, tiga rumah musnah sepenuhnya, manakala tiga rumah lagi mengalami kerosakan melibatkan 35 mangsa daripada enam keluarga.

Raja Kamarul Bahrin turut menyifatkan seorang mangsa kebakaran, Mohamad Suhaimi Mohamad, 42, sebagai seorang wira kerana sanggup bergadai nyawa demi menyelamatkan ibunya yang lumpuh.


Tiada ulasan: