BERNAMA
Najib dan isteri memohon
memadamkan beberapa perenggan dalam pernyataan pembelaan itu atas alasan
pembelaan Rafizi serta seorang lagi defendan, Chan Chee Kong bukan satu
komen berpatutan. Foto arkib
KUALA LUMPUR, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun
Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor hari ini memfailkan permohonan
bagi membatalkan beberapa perenggan dalam pernyataan pembelaan Naib
Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli dan satu lagi pihak dalam saman fitnah
berhubung isu subsidi minyak.
Peguam Choo Shi Jin, yang mewakili
perdana menteri dan isteri memaklumkan perkara itu kepada pemberita
selepas kes berkenaan disebut di hadapan Penolong Kanan Pendaftar
Nurdiana Mohd Nazari, Jumaat.
Selain Mohd Rafizi, pemilik portal ‘Media Rakyat’ Chan Chee Kong, turut dinamakan sebagai defendan dalam saman fitnah itu.
Prosiding dalam kamar itu turut dihadiri peguam Ng Siau Sun yang mewakili Mohd Rafizi dan Chan.
Choo berkata, Najib dan isteri memohon
memadamkan beberapa perenggan dalam pernyataan pembelaan itu atas alasan
pembelaan kedua-dua defendan bukan satu komen berpatutan.
Peguam itu berkata, mahkamah menetapkan 26 Ogos untuk pengurusan kes saman berkenaan.
Untuk rekod, pada 16 April lepas, Najib
dan Rosmah selaku plaintif memfailkan saman yang mendakwa Mohd Rafizi
telah memberi ucapan berbaur fitnah dalam satu forum berkaitan dengan
subsidi minyak di Bandar Tun Razak pada 22 Nov 2014.
Dalam pernyataan tuntutan itu, Najib dan
Rosmah mendakwa ucapan Mohd Rafizi telah dirakam oleh ‘Media Rakyat’
yang kemudiannya dimuat naik oleh Chan atau pembantunya ke laman web YouTube Media Rakyat dan portal Media Rakyat di bawah tajuk ‘Rafizi Ramli: Kenapa Kita Pertahankan Subsidi Minyak‘.
Mereka juga mendakwa bahawa rakaman yang sama turut dikongsi oleh Chan dalam laman Facebook Media Rakyat, dan ia boleh diakses secara bebas oleh pengguna internet seluruh dunia.
Menurut mereka lagi Chan telah gagal
mengamalkan prinsip kewartawanan bertanggungjawab kerana gagal mengambil
tindakan untuk mengesahkan atau menyiasat kebenaran tuduhan yang
terkandung dalam perkataan fitnah tersebut sebelum menerbitkannya.
Najib dan Rosmah turut menuntut kedua-dua
defendan membayar ganti rugi am, ganti rugi tambahan dan ganti rugi
teladan yang akan ditafsir oleh mahkamah.
Mereka juga menuntut satu arahan injunksi
untuk menghalang Mohd Rafizi, Chan dan pembantu mereka daripada
menerbitkan lebih lanjut perkataan fitnah itu selain menuntut satu
perintah supaya kedua-dua mereka menerbitkan permohonan maaf secara
bertulis dalam surat khabar dan majalah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan